Air Selangor dituntut bayar ganti rugi RM1,000

Abu Backer (kiri) menyerahkan notis tuntutan kepada Shahniza Anom di pejabat Air Selangor di Kuala Lumpur hari ini.
Abu Backer (kiri) menyerahkan notis tuntutan kepada Shahniza Anom di pejabat Air Selangor di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pejuang Perlembagaan dan Rukun Negara Malaysia menerusi syarikat guaman Tetuan A.B Sidek and Co hari ini membuat tuntutan ganti rugi ke atas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Tuntutan itu bagi mewakili sebahagian penduduk dan syarikat di Selangor dan Kuala Lumpur yang terjejas berikutan gangguan bekalan air bermula pada 6 September sehingga hari ini.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Datuk Abu Backer Sidek berkata, notis tuntutan diserahkan kepada wakil Air Selangor, Shahniza Anom di pejabat syarikat itu hari ini.

Menurutnya, antara tuntutan yang dibuat ialah memohon bayaran ganti rugi sebanyak RM1,000 dengan mengkreditkan amaun tersebut ke dalam akaun setiap pemilik akaun yang terkesan.

"Banyak individu tampil kepada kami menyuarakan rasa tidak puas hati dan meminta supaya tuntutan ganti rugi dibuat memandangkan mereka mengalami kesusahan.

"Malah, ada antaranya yang terpaksa mengeluarkan belanja khususnya terpaksa menginap di hotel atau keluar dari Selangor dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan air yang bersih.

“Kerana itu pertubuhan kami telah melantik peguam dan kami telah pun menyerahkan notis tuntutan berkenaan secara serahan tangan kepada wakil Pengurusan Air Selangor di ibu pejabat mereka di Bangsar tengah hari tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas menyerahkan notis tuntutan berkenaan.

Abu Backer berkata, tuntutan juga dibuat berikutan kegagalan Air Selangor memberi notis atau pemakluman awal kepada pemilik akaun dalam tempoh munasabah untuk membolehkan anak guam mereka mengambil inisiatif membuat simpanan bekalan air untuk kegunaan harian.

Artikel Berkaitan:

“Notis (tuntutan ganti rugi) sudah diserahkan kepada Air Selangor dan mereka perlu membayar ganti rugi berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini.

"Jika Air Selangor gagal memenuhi tuntutan, kami akan meneruskan tindakan undang-undang yang melibatkan 1.2 juta pengguna yang kosnya mencecah RM1.2 bilion," katanya.