Dua timbalan menteri dituntut mohon maaf secara rasmi

Zahidi Zainul (kiri) dan Abdul Rahim Bakri
Zahidi Zainul (kiri) dan Abdul Rahim Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kalangan Senator Dewan Negara dari Sabah hari ini meminta agar pihak yang berkenaan mengambil serius usaha menguruskan isu capaian internet di negeri itu yang didakwa masih dihadapi oleh banyak kawasan kampung.

Senator Adrian Lasimbang berkata, masih banyak kawasan kampung di Sabah berhadapan dengan masalah capaian internet dan ia telah memberi impak pada akses pembelajaran dalam talian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Contohnya Kampung Tilis, Tenom, apabila pelajar terpaksa memanjat bukit hampir 30 hingga 40 minit untuk mendapat capaian internet,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini, yang turut dihadiri Senator Alan Ling dan Senator Nga Hock Cheh.

Sehubungan itu, beliau meminta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjelaskan rancangan bersepadu merangkumi wilayah dan garis masa konkrit untuk pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela).

"Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di bawah kerajaan sebelum ini menyasarkan 20 peratus capaian internet di setiap premis kawasan separa bandar dan pedalaman dengan kelajuan 500 Mbps pada 2022," katanya.

Pada sidang akhbar itu, mereka turut menuntut Zahidi dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri membuat permohonan maaf secara rasmi dalam sidang Dewan Negara berikutan kenyataan mereka berhubung isu pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan akses internet. - Bernama

Artikel Berkaitan: