Sasar 30,000 hektar keluasan PPSB lima tahun lagi

Azman (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada wakil PPK Merbok (kiri) pada Majlis Penyampaian Tabung Bencana Tanaman Padi di PPK Lubuk Batu di Jitra hari ini.
Azman (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada wakil PPK Merbok (kiri) pada Majlis Penyampaian Tabung Bencana Tanaman Padi di PPK Lubuk Batu di Jitra hari ini.
A
A
A

JITRA - Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan keluasan sebanyak 30,000 hektar untuk pelaksanaan projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah, Azman Nasrudin berkata, setakat ini lebih 3,000 hektar sudah dilaksanakan untuk projek berkenaan iaitu kira-kira tiga peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan 106,000 hektar.

Beliau berkata, situasi berkenaan merupakan satu cabaran besar buat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), kerajaan negeri serta lain-lain agensi terlibat untuk menggalakkan penyertaan daripada petani.

"Saya sudah berbincang dengan Pengarah LPP dan Jabatan Pertanian. Saya akan turun berjumpa dengan seramai mungkin petani supaya kita dapat beri penerangan yang lebih lengkap kepada mereka mengenai PPSB ini.

"Ini kerana kita dapati segelintir petani risau apabila adanya projek ini kepentingan mereka sebagai petani akan terabai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Tabung Bencana Tanaman Padi di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu di sini hari ini.

Azman berkata, projek berkenaan turut berperanan membantu meningkat pendapatan petani khususnya yang mempunyai tanah bersaiz kecil.

"Ada petani yang mempunyai satu hektar atau dua tiga relung tanah sahaja, ia memang tidak ekonomik. Tetapi jika mereka terlibat dalam projek ini, kita dapat bantu dengan menghasilkan jentera baharu yang lebih canggih.

"Secara tidak langsung hasil dapat ditingkatkan dan pendapatan petani yang mana rendah sebelum ini kita akan dapat tingkatkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai 3,651 petani dari sembilan daerah di negeri ini menerima bantuan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi yang keseluruhannya berjumlah lebih RM5 juta.

Bantuan berkenaan adalah peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi membantu petani yang terjejas akibat musim kering yang melanda negeri ini pada hujung tahun lalu sehingga Mac lalu.