Semangat baharu James Rodriguez

James Rodriguez kini menyahut cabaran baharu di pentas liga Inggeris.
James Rodriguez kini menyahut cabaran baharu di pentas liga Inggeris.
A
A
A

TONGGAK baharu Everton, James Rodriguez menyifatkan perpindahannya ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai suntikan semangat baharu kepada masa depan karier bola sepaknya.

Menurut pemain Colombia itu, saingan liga Inggeris adalah pentas terbaik untuk pemain berusia 29 tahun berkenaan kembali menyerlah selepas melalui musim suram di Santiago Bernabeu sebelum ini.

"Sejujurnya saya amat teruja dapat berkhidmat di Goodison Park dan sangat gembira dapat menyarung jersi Everton bersama seorang pengurus yang mengenali saya.

"Biarpun pernah beraksi beberapa musim di saingan La Liga dan Bundesliga yang cukup mencabar serta sengit, namun gaya dan corak permainan liga Inggeris adalah satu pengalaman baharu buat saya.

"Sokongan pemain dan komuniti bola sepak Everton akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk memulakan tugas mencapai misi serta visi kelab dengan cita-cita, dedikasi dan komitmen tinggi," katanya yang pernah menyarung jersi Envigado, Banfield dan FC Porto.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti yang mengakhiri saingan liga pada kedudukan ke-12 mengesahkan pengrekrutan Rodriguez selama dua tahun dari gergasi La Liga, Real Madrid dengan nilai 20 juta pound untuk pemain berusia 29 tahun itu.

Rodriguez sebelum ini pernah beraksi di bawah pengendali berusia 61 tahun itu ketika bersama Real Madrid dan Bayern Munich.

Nama bekas pemain AS Monaco mula melonjak selepas dia tampil mempamerkan aksi luar biasa pada Piala Dunia 2014 apabila muncul penjaring terbanyak kejohanan di Brazil itu sekaligus menyebabkan Los Blancos segera merekrutnya.

Artikel Berkaitan:

Namun kehadirannya di Madrid kurang memberi impak apabila terpaksa bergelut untuk meyakinkan Zinedine Zidane bagi membarisi kesebelasan utama Los Blancos menyebabkannya dipinjamkan ke gergasi Bundesliga, Bayern Munich selama dua musim dengan meledak 14 gol dari 43 penampilan.

Sementara itu, Ancelotti menyifatkan: "Rodriguez adalah pemain hebat yang berkualiti dan memiliki pelbagai kemampuan untuk memberi membantu penyerang."