X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket tipu warga emas dicekup

Mohd Rosni (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dari suspek.
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki tempatan ditahan di tiga lokasi berasingan di Perak pada 6 September lalu berhubung kes tipu nombor tiket ramalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, sindiket yang mula aktif sejak dua tahun lalu itu mensasarkan warga emas sebagai mangsa.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia 46, 57 dan 63 tahun itu bergerak secara berkumpulan di sekitar negeri ini namun tinggal di Perak.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek mempunyai peranan masing-masing iaitu pemandu kenderaan, menyamar sebagai warga Myanmar dan 'mastermind'.

Beliau berkata, suspek akan datang ke negeri ini untuk menjalankan kegiatan mereka namun tidak akan menginap di sini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Modus operandi sindiket ini adalah mensasarkan warga emas di tempat awam seperti di pasar, stesen bas dan di hadapan bank. Mereka akan menyamar sebagai warga asing dengan menyatakan telah memenangi nombor tiket ramalan bernilai RM400,000.

"Oleh kerana mereka warga asing, mereka tidak boleh menebus wang kemenangan lalu meminta bantuan mangsa untuk menebusnya dengan menjanjikan upah sebanyak RM60,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini tadi.

Mohd Rosni (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dari suspek.
Mohd Rosni (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas dari suspek.

Tambahnya, kesemua suspek berjaya ditahan di rumah di Bercham, Kampung Tawas dan Batu Gajah selepas seorang mangsa berusia 69 tahun membuat laporan pada 3 September lalu.

"Mangsa merupakan seorang suri rumah yang disapa oleh salah seorang suspek di perhentian bas di Air Itam, di sini pada hari sama. Mangsa mengalami kerugian RM12,000 yang diberikan secara tunai kepada suspek kononnya sebagai bayaran urusan penebusan wang.

"Kita berjaya merampas beberapa barangan daripada ketiga-tiga suspek antaranya tiga keping resit nombor tiket ramalan; lima keping cek; 10 helai akhbar tempatan; 13 keping kad ATM; dua keping kad kredit; dua buah kereta; lima buah telefon bimbit, 18 keping sijil simpanan tetap berjumlah RM369,797 dan wang tunai RM500," katanya.

Mohd Rosni berkata, setakat ini, polis menerima 15 laporan daripada mangsa yang berkaitan dengan sindiket tersebut.

"Ia melibatkan kerugian RM296,300. Siasatan mendapati, sindiket ini menggunakan wang yang ditipu untuk membiayai keperluan diri antaranya pembelian kereta, pembayaran sewa rumah dan membuat simpanan dalam bentuk simpanan tetap.

"Ketua sindiket yang berusia 57 tahun membeli sebuah rumah di Perak dipercayai hasil kegiatan ini. Selain Pulau Pinang, mereka juga disyaki menjalankan kegiatan ini di beberapa negeri lain. Kes disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!