40 lokasi titik panas dikesan di perairan negara

Aminuddin Abdul Rashid (empat dari kiri) menunjukkan dadah yang akan dilupuskan di Kualiti Alam Sdn Bhd, hari ini.
Aminuddin Abdul Rashid (empat dari kiri) menunjukkan dadah yang akan dilupuskan di Kualiti Alam Sdn Bhd, hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan terdapat lebih 40 kawasan titik panas di kawasan perairan di negara ini yang menjadi lokasi kegiatan penyeludupan dadah, rokok dan kemasukan warga asing.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan APMM, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, hasil risikan dan pemantauan pihaknya mendapati modus operandi kegiatan berkenaan terutama penyeludupan dadah, ialah menggunakan jalan laut sejak lima tahun lalu.

"Ini kerana jalan laut luas dan membolehkan mereka membawa bekalan dadah dengan banyak sama ada waktu pagi atau malam sekali gus mengelakkan dikesan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar majlis Pelupusan Dadah Jenis Syabu bernilai RM29 Juta di Kualiti Alam Sdn Bhd di sini, hari ini.

Selain itu katanya, sejak Januari sehingga Ogos lalu, sebanyak 17 kes tangkapan iaitu (6) di Kedah, (5) di Sabah, (3) Johor serta masing-masing (1) di Pahang, Perak dan Negeri Sembilan melibatkan rampasan dadah dengan nilai anggaran RM14.85 juta.

Menurutnya, kes terbesar setakat ini ialah kes dadah pelbagai jenis seberat 113 kilogram dengan anggaran nilai RM7.2 juta yang dipatahkan melalui Op Benteng di kawasan pantai Port Dickson pada 18 Mei lalu.

Sementara itu pada majlis berkenaan sebanyak 387.47 kilogram dadah jenis syabu dilupuskan hasil daripada penemuan lapan beg berisi dadah yang terapung pada jarak 1.2 batu nautika dari Pantai Kuala Perlis pada 23 Mei, dua tahun lalu.

"Beg tersebut dipercayai dibuang oleh penyeludup selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa yang sedang menjalankan rondaan rutin," katanya.

Artikel Berkaitan: