Industri silika tarik pelabur ke Terengganu

Tengku Hassan Tengku Omar
Tengku Hassan Tengku Omar
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Industri silika dilihat bakal menjadi sektor pelaburan berdaya tinggi baharu di Terengganu apabila 65 peratus pelabur yang datang mengintai peluang di negeri ini berminat dengan pelaburan pasir silika.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, setakat ini lebih 50 pelabur dari dalam dan luar negara seperti China, Taiwan dan Korea sudah menunjukkan minat mereka untuk melabur dalam industri itu.

Menurutnya, minat yang tinggi itu didorong oleh usaha kerajaan mewujudkan Lembah Silika Terengganu (TSV) seluas 4000 hektar yang dikhaskan untuk membina kilang-kilang silika di Jambu Bongkok, Marang.

“Mengenai status lembah silika di Jambu Bongkok, kerajaan negeri sedang menyediakan pelan induk TSV yang dijangka siap pada Januari depan.

“Kerajaan juga sedang menyediakan infrastruktur di sana dan rundingan dengan Petronas sedang dibuat bagi membina laluan paip untuk membawa gas ke TSV melalui Santong, Dungun ke Jambu Bongkok,” katanya menjawab soalan lisan Alias Harun (Pas-Rantau Abang) tentang status terkini projek industri silika di Lembah Silika Jambu Bongkok pada persidangan Dun hari ini.

Menyedari potensi industri silika, kerajaan negeri menetapkan syarat kepada pelabur agar membina kilang di TSV bagi mewujudkan peluang kerja rakyat tempatan dan silika mentah tidak boleh dibawa ke luar negara sebaliknya mesti digunakan untuk industri dalam negeri.

“Kita tidak benarkan eksport bahan mentah ke luar negara, paling kurang kena proses pasir silika di sini ke satu tahap yang boleh kita benarkan bawa keluar,” katanya.

Tengku Hassan berkata, Terengganu mempunyai deposit silika di semua daerah kecuali Hulu Terengganu dan satu kajian akan dibuat bagi menentukan jumlah sebenar deposit dan tempoh jangka hayat silika di sesuatu kawasan.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah dan tempohnya tidak sama, contoh, silika di Rantau Abang boleh bertahan antara enam bulan hingga setahun manakala di Setiu pula boleh bertahan sehingga 200 tahun. Kita sedang tentukan sama ada kajian itu akan dibuat oleh pelabur sendiri atau agensi kerajaan,” katanya.

Nilai pelaburan yang dijangka dibawa pelabur ke TSV bernilai RM13 bilion dan mampu mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dengan kilang pertama bakal siap pada akhir tahun 2020.