Tiada gengster masuk campur kes durian musang king di Raub

Laporan Sinar Harian 3 September lalu.
Laporan Sinar Harian 3 September lalu.
A
A
A

KUANTAN - Tiada elemen gengsterisme atau kongsi gelap terlibat dalam kes kontroversi durian musang king di Raub seperti didakwa sesetengah pihak.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, melalui sembilan laporan polis berhubung isu berkenaan yang diterima setakat ini, beliau mengesahkan tiada elemen itu terlibat.

Menurutnya, setakat ini laporan polis yang diterima lebih kepada rasa tidak puas hati dan kebimbangan pihak tertentu terhadap kemungkinan yang terjadi susulan permasalahan tersebut.

“Kita tidak menerima laporan daripada pihak terlibat baik dari syarikat mahupun pekebun yang mendakwa mereka diugut, dikasari atau dipengaruhi oleh mana-mana kumpulan gengster setakat ini.

“Kita sahkan perkara ini dan mengingatkan pihak-pihak terlibat supaya tidak melibatkan elemen itu dalam masalah yang dihadapi mereka ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu untuk Kontinjen Pahang di Kompleks Polis Alor Akar di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PSAP desak ambil tindakan pihak bersekongkol, peneroka haram

Lapan NGO lapor polis bantah penerokaan tanah haram

Pahang ambil alih kawasan tanaman durian haram di Raub

Artikel Berkaitan:

Pahang rugi hasil cukai RM30 juta akibat penanaman durian haram

Abd Jalil berkata, sebarang permasalahan yang timbul perlu diselesaikan melalui lunas undang-undang dan boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan, bukannya melibatkan gengster atau kongsi gelap.

“Alhamdulillah, keadaan kini terkawal selepas pekebun terlibat durian Musang King mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di daerah Raub yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 28 Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini tiada lagi anggota ditempatkan di kawasan itu dan semua pihak nasihatkan supaya segera membuat laporan polis jika terdapat perkara yang mencurigakan.

Krisis itu tercetus susulan tindakan tegas Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani kebun durian Musang King di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah milik kerajaan.

Langkah mengambil alih tanah terlibat dilaksanakan bermula 1 Ogos lalu apabila kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram tersebut.

Bagaimanapun tindakan itu mendapat bantahan daripada pekebun sehingga mereka memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap notis pengosongan tanah yang diusahakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha tanaman musang king mahu berunding

'Kerajaan berhak saman penceroboh'