Pegawai, anggota polis direman disyaki rasuah

Ketiga-tiga anggota polis tersebut diiringi pegawai SPRM Kedah dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk direman bermula hari ini.
Ketiga-tiga anggota polis tersebut diiringi pegawai SPRM Kedah dibawa ke Mahkamah Alor Setar untuk direman bermula hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pegawai dan dua anggota polis direman tujuh hari kerana dipercayai meminta dan menerima suapan daripada seorang pengadu sebanyak RM8,000 pada 16 Julai lalu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Liyana Abd Rahim membenarkan ketiga-tiga suspek direman seminggu bermula pada hari ini sehingga 14 September depan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kedah dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiganya ditahan di pejabat SPRM Kedah kira-kira jam 1 pagi tadi.

Menurutnya, pada hari kejadian pengadu memaklumkan didatangi beberapa individu di rumahnya yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

"Salah seorang anggota polis meminta wang RM8,000 dengan dorongan untuk tidak diambil tindakan tangkapan kononnya pengadu disyaki pengedar dadah.

"Polis tersebut mengambil RM3,800 daripada pengadu pada 16 Julai manakala baki RM4,000 diambil semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, polis berkenaan meminta kepada pengadu untuk memberi wang secara bulanan sebanyak RM6,000 lagi didakwa supaya tidak dikenakan tindakan yang sama pada bulan seterusnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: