Pelancongan kesihatan perlu diperkasa semula

Gambar kecil: Sherene. - Foto Bernama
Gambar kecil: Sherene. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sememangnya sudah lama menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan ini jelas dilihat daripada pelbagai pengiktirafan global yang telah diterima setakat ini.

Antara pengiktirafan itu ialah anugerah utama International Medical Travel Journal (IMTJ), Medical Travel Awards 2019 bagi kategori Health and Medical Tourism: Cluster of the Year (Kluster Kesihatan dan Pelancongan Kesihatan Terbaik).

Bagi kategori tersebut, Malaysia berjaya mengekalkan kemenangan dan menerima anugerah ini selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2017, 2018 dan 2019.

Selain itu, Malaysia turut mengungguli anugerah Health and Medical Tourism: Destination of the Year - Highly Commended (Anugerah Kepujian sebagai Destinasi Kesihatan dan Pelancongan Perubatan Terbaik) pada 2019.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli, Majalah dari Amerika Syarikat, International Living meletakkan Malaysia negara teratas bagi kategori penjagaan kesihatan dalam Indeks Persaraan Global untuk rekod lima tahun berturut-turut (2015 hingga 2019). Kejayaan ini mengatasi negara lain seperti Perancis, Thailand, Ecuador, Costa Rica dan Mexico.

Sektor ini juga sedang mencatat pertumbuhan positif dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) meningkat sebanyak 17 peratus dari tahun 2015 hingga 2019, melebihi purata pertumbuhan serantau sebanyak 12 hingga 14 peratus setiap tahun.

Dengan pencapaian bertaraf eksklusif ini, pelawat kesihatan dari seluruh pelosok dunia datang ke Malaysia bagi mendapatkan pelbagai perubatan khusus seperti ortopedik, kardiologi, neurologi, onkologi, rawatan kesuburan dan banyak lagi.

Dilanda badai Covid-19

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, tiada siapa dapat menjangka pandemik Covid-19 melanda negara ini juga seluruh dunia. Penutupan sempadan negara dan menyekat kemasukan pelancong asing untuk mengelakkan penularan Covid-19, menyebabkan hampir keseluruhan sektor terpenting negara terjejas teruk termasuk sektor pelancongan kesihatan.

Menurut Sherene, akibat kesan negatif pandemik itu terhadap pertumbuhan ekonomi negara, MHTC menurunkan sasaran pendapatan pelancongan perubatan bagi 2020 kepada hanya RM500 juta dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM3 bilion.

Beliau menjelaskan, sasaran asal pendapatan pelancongan bagi 2020 adalah RM2 bilion dengan anggaran impak kepada ekonomi sebanyak RM10 bilion.

Tambah beliau, disebabkan Covid-19 dan penutupan sempadan negara buat sementara waktu sehingga keadaan pandemik beransur pulih, MHTC mengurangkan sasaran sebanyak 70 peratus berbanding sasaran asal.

Berdasarkan rekod pada 2019, sektor ini mengaut keuntungan RM1.7 bilion, dengan ketibaan 1.3 juta orang pelawat kesihatan dari pelbagai negara. Namun setakat ini, Sherene menjelaskan MHTC masih mengemaskini data terkini berkaitan jumlah pelancong kesihatan bagi tahun 2020.

Bagi membolehkan sektor ini kembali bernafas seperti sedia kala, kerajaan pada 19 Jun lepas membenarkan kemasukan warganegara asing dari luar yang mengalami penyakit kritikal dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi.

"Setakat ini, pelancong kesihatan dari semua negara dibenarkan masuk ke negara ini, namun tetap tertakluk kepada kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia yang dibantu oleh MHTC di samping perlu mematuhi SOP yang ketat. Semua pelancong kesihatan yang memasuki Malaysia untuk mendapatkan rawatan perlu masuk melalui jet peribadi, evakuasi perubatan, atau penerbangan sewaan," jelas Sherene.

Manfaatkan teknologi sedia ada

Sementara itu, Pengerusi Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL),Tan Sri Datuk Dr Yahya Awang mengakui, pandemik Covid-19 pada akhirnya turut memberi impak negatif kepada peratusan kedatangan pelancong kesihatan dari luar negara.

Namun begitu beliau menegaskan, perkara paling penting sekarang ialah bagaimana pihak hospital kerajaan dan swasta dapat terus menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk pelancong kesihatan sedia ada meskipun negara kini masih bergelut menentang penularan Covid-19.

"Disebabkan isu penyebaran virus Covid-19 yang berlaku, terdapat pengurangan tenaga kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, di samping peratusan pesakit baharu juga turut terjejas.

“Namun, itu bukan penghalang. Kita seharusnya memanfaatkan teknologi yang ada walaupun ramai pesakit masih tidak dapat masuk ke negara ini kerana pintu masuk utama negara belum dibuka sepenuhnya. Kita masih boleh guna aplikasi Zoom contohnya untuk berbincang dan adakan konsultasi dengan pesakit tentang rawatan yang diperlukan.

"Antara medium lain yang efektif ialah komunikasi antara pesakit dan doktor pakar menggunakan webinar dan telekonferens," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di CVSKL baru-baru ini.

Dr Yahya memberitahu Bernama, kebanyakan operasi pembedahan jantung melibatkan pesakit pelancong perubatan di CVSKL ditangguhkan buat sementara waktu sekiranya tiada keperluan mendesak, melainkan operasi pembedahan yang memerlukan tindakan segera doktor pakar CVSKL.

CVSKL turut menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan berkaitan jantung berteknologi tinggi, antaranya Angioplasty (Angioplasti), Ablation (Ablasi), Coronary Artery Bypass Graft (CABG), Transcatherer Aortic Valve Implantation (TAVI) serta Personalised External Aortic Root Support (PEARS), dengan 21 orang doktor pakar bersedia membantu merawat pesakit.

Dua aspek perkasa industri

Industri pelancongan kesihatan Malaysia diakui antara yang terbaik di dunia kerana negara ini mempunyai ramai doktor pakar dalam setiap bidang dan disiplin, di samping turut dilengkapi peralatan perubatan yang canggih dan terkini.

Dengan itu, apabila menyebut perihal pemerkasaan dan menyuburkan kembali industri pelancongan kesihatan yang kini sedang bangkit kembali selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Dr Yahya berkata, pemain industri perlu memberi keutamaan kepada dua aspek utama.

Pertama, usaha mempererat kerjasama antara hospital kerajaan dan swasta perlu terus dipergiat dalam usaha memberi perkhidmatan kelas pertama kepada pesakit dalam negara dan juga pelawat kesihatan dari luar negara.

"Pihak hospital pakar swasta disarankan untuk sentiasa membantu hospital kerajaan dengan mengambil alih pesakit yang memerlukan rawatan dan pembedahan segera. Ini satu bentuk usahasama bagi mempercepatkan proses rawatan seseorang pesakit dan memendekkan senarai menunggu di hospital kerajaan," jelasnya.

Kedua, pihak hospital perlu menyediakan ejen di setiap pintu masuk utama negara, yang mana mereka akan bertindak sebagai orang tengah bagi mempercepat proses pendaftaran pesakit dan membawa mereka ke hospital.

“Apa yang mustahak ialah pesakit yang baru tiba di lapangan terbang tidak perlu menunggu lama. Pihak hospital perlu mengatur pengangkutan dari lapangan terbang sebaik sahaja mereka tiba sahaja di sini dan terus menjalani pembedahan di hospital sekiranya ia perlu dilakukan segera. Segala proses berkaitan akan diuruskan ejen hospital (sepanjang perjalanan ke hospital)," katanya. - Bernama