Bunuh Jamal Khashoggi: Hukuman mati diganti dengan jel

Mayat Jamal Khashoggi didakwa dikerat-kerat di Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018. - Foto AFP
Mayat Jamal Khashoggi didakwa dikerat-kerat di Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Keputusan mahkamah semalam menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan dalam kes pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi dikritik oleh tunangnya dan dibidas seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menganggap ia sebagai satu parodi keadilan.

Lapan orang defendan itu yang tidak dinamakan kemudian dihukum penjara antara tujuh dan 20 tahun dalam satu keputusan yang dibuat selepas anak lelaki Khashoggi memaafkan pembunuhnya pada Mei lalu sekali gus membuka jalan kepada hukuman lebih ringan.

Keputusan mahkamah itu memberi tekanan kepada Arab Saudi yang berusaha mengambil tindakan dalam kes pembunuhan pada Oktober 2018 ketika negara beraja tersebut mahu meningkatkan imej di peringkat antarabangsa menjelang persidangan Kumpulan 20 (G20) pada November ini di Riyadh.

Perbicaraan tertutup terhadap 11 suspek selesai pada Disember tahun lalu selepas lima daripada mereka dijatuhkan hukuman mati dan tiga lagi menerima hukuman penjara 24 tahun berhubung kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes bunuh Khashoggi, lima dihukum mati

Bagaimanapun, pihak keluarga Khashoggi memaafkan mereka menyebabkan hukuman itu dikurangkan termasuk terhadap lima orang yang dijatuhkan hukuman mati.

"Lima pesalah dihukum penjara sehingga 20 tahun penjara. Seorang lagi dihukum sehingga 10 tahun penjara dan dua lagi dijel sehingga tujuh tahun," lapor Saudi Press Agency (SPA) seorang jurucakap untuk pihak pendakwa raya.

Tidak ada seorang pun daripada lapan orang itu yang nama mereka didedahkan dan ia dianggap sebagai keputusan terakhir dalam kes pembunuhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kes itu sebelum ini menggemparkan di peringkat antarabangsa dan menjejaskan reputasi Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman.

Tunang wartawan itu yang berasal dari Turki, Hatice Cengiz menganggap keputusan itu sebagai satu sandiwara.

Hatice Cengiz yang merupakan tunang kepada Jamal Khashoggi. - Foto AFP
Hatice Cengiz yang merupakan tunang kepada Jamal Khashoggi. - Foto AFP

Pelapor khas PBB berhubung ruang lingkup di luar bidang kehakiman dan perlakuan arbitrari, Agnes Callamard mengkritik keputusan itu sebagai satu lagi tindakan parodi keadilan.

Khashoggi, 59, dibunuh dan mayatnya dikerat-kerat di Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Dia yang merupakan pengkritik kepada putera mahkota dijerut dan mayatnya didakwa dikerat-kerat oleh 15 lelaki Arab Saudi di dalam bangunan tersebut, menurut beberapa pegawai Turki.

Semalam, Turki menyatakan keputusan mahkamah Arab Saudi itu di luar jangkaan global.

Badan pemantau media, kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan turut mengutuk keputusan itu apabila Setiausaha Agungnya, Christophe Deloire memberitahu AFP perbicaraan tersebut tidak menghormati prinsip asas keadilan.

Akhbar The Washington Post melaporkan pada tahun lalu bahawa anak-anak Khashoggi termasuk seorang anak lelakinya, Salah telah menerima rumah bernilai berjuta-juta dolar dan dibayar ribuan dolar setiap bulan oleh pihak berkuasa. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Pembunuh Khashoggi masih cetus tanda tanya

Kata-kata terakhir Jamal Khashoggi

Turki mulakan perbicaraan pembunuhan Jamal Khashoggi