Kerajaan sedia bincang perhebat MOJA ke seluruh negara

Zulkifli (tengah) dan Tomiran (kanan) menyantuni Mimi Loma pada Majlis Ziarah dan Penyampaian Bantuan MAIWP di kediaman wanita itu di Flat PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur semalam.
Zulkifli (tengah) dan Tomiran (kanan) menyantuni Mimi Loma pada Majlis Ziarah dan Penyampaian Bantuan MAIWP di kediaman wanita itu di Flat PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia untuk berbincang dengan majlis agama negeri dalam usaha menyebarluaskan Aplikasi Mobil Jejak Asnaf (MOJA) yang dibangunkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan asnaf di seluruh Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sejak aplikasi itu dilancarkan pada Jun lalu, Baitulmal MAIWP telah menerima sebanyak 102 laporan dan 64 daripadanya berjaya diselesaikan.

“Jadi, kita berharap aplikasi ini dapat diperkasakan lagi dengan sasaran penyelesaian sekitar 70 sehingga 80 peratus melibatkan sebanyak 100 kes sebulan.

“Buat masa ini MOJA hanya terhad di Wilayah Persekutuan, namun kita bersedia untuk membentangkan aplikasi ini kepada mereka yang berkaitan pada peringkat kerajaan negeri khususnya majlis agama negeri bagi menyantuni golongan asnaf.

“Kita juga berhasrat untuk melakukan kolaboratif bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menyelaraskan untuk membantu golongan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ziarah dan Penyampaian Bantuan MAIWP kepada adik Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, Aminah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mimi Loma di kediamannya dekat Flat PPR Seri Semarak, Setapak di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon; Timbalannya, Mohd Nizam Yahya dan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Vateran Malaysia (PKAVM), Datuk Tomiran Mohd Kasdi.

Mengulas mengenai masjlis itu, Zulkifli berkata, Mimi Loma merupakan penerima Bantuan Zakat Kewangan Bulanan Baitulmal sejak tahun 2012 dan masih menerima bantuan tersebut sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bantuan itu telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM400 selepas tahun pertama beliau menerimanya, selain bantuan sewa rumah sebanyak RM124 sebulan sejak 2014 sehingga kini.

“Beliau juga menerima bantuan perubatan am dalam bentuk lampin pakai buang dewasa dan pernah menerima beberapa bantuan lain seperti Bantuan Aidilfitri serta Bantuan Peralatan Kesihatan berupa cermin mata.

“Hari ini (semalam) MAIWP turut menyalurkan Bantuan Zakat Kecemasan berjumlah RM1,000 bagi meringankan lagi beban beliau,” katanya.

Sementara itu, Mimi Loma melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Baitumal MAIWP yang sentiasa tampil menghulurkan pelbagai bantuan kepadanya.