Gangguan air di tiga daerah pulih sepenuhnya

Kadar peratusan pemulihan bekalan air di tujuh daerah yang terjejas sekitar Lembah Klang.
Kadar peratusan pemulihan bekalan air di tujuh daerah yang terjejas sekitar Lembah Klang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gangguan bekalan air di daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat sejak pagi Khamis lalu telah pulih sepenuhnya setakat jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sebanyak 136 kawasan di daerah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur serta Klang dan Shah Alam pula masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, ketika ini daerah Petaling mencapai tahap pulih 95.72 peratus diikuti Gombak (94.89 peratus), Kuala Lumpur (85.02 peratus) dan Klang serta Shah Alam (59.32 peratus).

"Semua 290 kawasan terlibat dengan gangguan air di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor sudah menerima bekalan air masing-masing.

"Secara keseluruhannya sebanyak 1,156 kawasan atau 89.47 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lapan kawasan di dalam Kumpulan 1 yang sepatutnya menerima bekalan semalam belum menerima air masing-masing.

Katanya, sebanyak 54 kawasan yang berada dalam Kumpulan 2 yang sepatutnya menerima bekalan air pada jam 12 tengah malam tadi juga masih terjejas.

Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk mestabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Pengguna juga dinasihatkan mendapatkan maklumat rasmi melalui saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan bekalan air bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh daerah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Tujuh daerah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.