X

Kindly register in order to view this article
!

Amaran Norizam Tukiman bukan satu tekanan

Yusri (tengah) sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya pada setiap sesi latihan.
A
A

BARISAN pemain dan jurulatih Kelantan mengambil positif amaran yang dilontarkan pemilik pasukan, Norizam Tukiman yang sedia menggugurkan mana-mana pemain jika tidak menampilkan persembahan baik di tengah padang.

Pengendali The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah berkata, beliau melihat amaran itu sebagai satu cabaran yang perlu dipenuhi, apatah lagi ia disampaikan oleh pemilik pasukan yang sudah tentu mahukan persembahan cemerlang dalam setiap perlawanan.

“Semua perkara kalau kita ambil negatif, ia akan jadi negatif. Tetapi pada saya, para pemain dan saya sendiri sebagai jurulatih mengambil satu sikap positif dan ia bukan satu tekanan kepada pasukan. Insya-ALLAH ia akan memberikan manfaat kepada kita.

“Pada saya amaran ini juga satu cabaran. Kita perlu akur memandangkan kita juga sebagai pasukan yang profesional. Tidak ada jalan mudah dalam dunia ini. Mana ada benda terpijak.

“Jadi terpulang kepada kita sama ada kita inginkan kejayaan dan meneruskan perjuangan dengan lebih baik atau kita melepaskan peluang yang ada dengan begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, setiap pemain TRW sentiasa bermotivasi untuk melakar kemenangan dalam setiap perlawanan sesuai dengan visi pemilik baharu pasukan.

“Walaupun beliau (Norizam) baru bersama kami tetapi beliau sentiasa memberikan kekuatan dan motivasi kepada para pemain dan saya sendiri. Pasa masa sama, beliau mencari formula untuk menjadikan Kelantan sebuah pasukan terbaik.

“Ia memberi satu gambaran beliau berkeinginan dan memiliki visi yang amat tinggi. Jadi untuk memenuhi visi beliau, kami perlu seiring dengan apa yang dimahukannya,” katanya.

Terdahulu, Norizam yang juga seorang usahawan dan pakar pelaburan mengambil alih 100 peratus saham dalam syarikat TRW Sdn Bhd - anak syarikat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini.

Norizam mengeluarkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6.8 juta dengan RM3 juta untuk membeli saham syarikat tersebut dan RM3.8 juta lagi untuk KAFA menyelesaikan segala hutang tertunggak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!