‘Otai’ penentu kejayaan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

LEE Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik harus menjadi pemimpin dalam membarakan semangat juang kem Malaysia bagi mengharungi kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Rashid Sidek, pengalaman pemain perseorangan lelaki dan beregu lelaki itu pada saingan kali ini cukup penting kerana mereka akan menjadi penentu kekuatan Malaysia.

“Zii Jia dan Aaron Chia-Wooi Yik perlu tunjukkan kekuatan mental serta fizikal yang dinamik kerana setiap tindakan mereka sepanjang kejohanan akan menjadi perhatian pemain lain.

“Mereka harus sematkan dalam diri dengan pemikiran positif biarpun bakal berdepan lawan yang menduduki ranking terbaik dunia kerana kekentalan semangat juang mereka akan dicontohi.

"Sekiranya mereka 'goyang' atau gugup dalam perlawanan, maka ia secara tidak langsung akan mempengaruhi pemain lain yang berjuang selepas itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagi barisan pemain muda negara pula, Rashid menasihati mereka supaya menggunakan peluang diberikan untuk mewakili negara dengan mempamerkan aksi terbaik di tengah gelanggang.

“Pemain-pemain muda negara harus membuktikan bahawa mereka dipilih ke kejohanan pertandingan berprestij pada kali ini bukan sekadar tangkap muat untuk cukupkan korum.

“Memang dalam kalangan mereka terdapat yang masih muda dan kurang berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa, apatah lagi jauh sekali untuk menyaingi pemain yang berada dalam ranking terbaik dunia.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kena ingat pemain-pemain muda ini kebiasaannya dibarakan dengan semangat melawan tinggi yang mana sebenarnya boleh dinilai oleh semua rakyat Malaysia.

“Jika mereka menentang pemain ranking tinggi mereka seandainya tewas pun setelah berjuang berhabis-habisan tiada siapa yang akan marah sebaliknya akan merespek kekentalan jiwa mereka,” katanya.

Zii Jia akan mengetuai cabaran skuad Piala Thomas negara dengan dibantu Liew Daren, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao serta gandingan Aaron Chia-Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Bagi saingan Piala Uber, cabaran Malaysia digalas Soniia Cheah, S Kisona, Goh Jin Wei dan Eoon Qi Xuan serta gandingan beregu, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Pearly Tan-M Thinaah.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A kempen Piala Thomas bersama Indonesia selain Belanda dan England manakala dalam saingan Piala Uber, Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia bagi Kumpulan B.