Ancaman liberal: MAIS sangkal dakwaan 'berpeluk tubuh'

Datuk Mohammed Khusrin Munawi
Datuk Mohammed Khusrin Munawi
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa memandang serius dan memberi keutamaan terhadap isu berkaitan akidah umat Islam termasuklah ancaman gerakan liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kata Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Beliau berkata, pihaknya bersama pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor juga bekerjasama bagi menangani dan mencegah penyebaran fahaman serta ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam.

“Oleh itu, kenyataan yang diketengahkan sebuah akhbar tempatan mengatakan majlis agama Islam negeri ‘berpeluk tubuh’ serta makan gaji buta dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menjawab laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini yang mendakwa institusi agama dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tidak mengambil tindakan dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan agama Islam.

Malah, kata Mohammed Khusrin, fatwa berhubung pemikiran liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan pada 31 Julai 2014 turut menyatakan bahawa mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

“MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor juga melaksanakan program penerangan secara berterusan berkaitan fatwa tersebut kepada pelajar sekolah, pegawai di jabatan kerajaan dan orang awam,” katanya.

Katanya, tindakan dan pemantauan berterusan melalui media sosial juga dilakukan bagi membendung penyebaran fahaman liberalisme.

Mohammed Khusrin berkata, MAIS juga ada menerbitkan beberapa buku berkaitan kesedaran akidah untuk rujukan orang ramai malah JAIS sentiasa proaktif melaksanakan aktiviti pemantauan, risikan dan siasatan secara berterusan termasuk dengan kerjasama orang awam ke atas fahaman sedemikian yang disyaki kembali aktif.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, umat Islam di Selangor dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan kepercayaan fahaman yang telah difatwakan sesat.

“Ini kerana fatwa tersebut mengikat semua orang Islam di Selangor untuk mematuhinya. Kegagalan mematuhi fatwa berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

“Umat Islam juga dinasihatkan supaya menghubungi talian hotline penguatkuasaan JAIS iaitu 1-800-88-2424 untuk sebarang aduan atau maklumat berhubung fahaman liberalisme di negeri ini,” katanya. - Bernama