Isu sekolah vernakular terus diperdebatkan

No Image Caption
A
A
A

SEKOLAH vernakular di Malaysia sudah lama didirikan sebelum merdeka lagi, namun kewujudannya masih dipertikaikan sehingga hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, Pemuda Bersatu (Armada) tetap mahu sekolah vernakular dihapuskan secara berperingkat meskipun Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkannya.

Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sayap Bersatu itu menolak secara tuntas kenyataan Halimah yang didakwanya tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini.

Sebelum itu, pada 23 Oktober tahun lalu, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra) memfailkan notis usul untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran cabaran itu. Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan bahawa Parlimen mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai pendidikan.

Maka tidak hairanlah gesaan dibuat Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Shamrahayu A Aziz pada Khamis lalu apabila beliau meminta kerajaan segera mencari penyelesaian perdebatan isu sekolah vernakular kerana jika tidak ia akan menghangatkan lagi suhu perkauman di negara kita.

Kebimbangan Shamrahayu itu tentu ada sebabnya kerana jika semua pihak memikirkan kepentingan masing-masing, ia akan memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi terhadap perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Satu kajian sebenarnya perlu dilakukan pengkaji sistem pendidikan di negara kita bagi mencari jalan dan jawapan yang tepat apakah sekolah vernakular menjejaskan keharmonian antara kaum di Malaysia?

Artikel Berkaitan:

Pihak kerajaan, pakar perundangan, pemimpin politik ataupun individu tertentu mestilah berusaha menamatkan pertikaian itu secara muktamad.

Sekiranya isu pendidikan itu terus dipertikaikan, sudah tentu ia tidak akan membawa apa-apa faedah kepada semua pihak.