X

Kindly register in order to view this article
!

2020 hanya setakat 17 Mac rupanya

Paling tidak sangka apabila 2020 adalah tahun yang penuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan segala jenis perintah kawalan.
A
A

PEJAM celik pejam celik, kita sudah melalui lebih separuh tahun 2020. Sekejap sungguh masa berlalu kerana lagi tiga bulan tirainya akan berlabuh dan kita akan melangkah masuk ke tahun baharu.

Ingatkan tahun ini dapatlah melihat Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya seperti dirancang kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad 29 tahun lalu dalam Rancangan Malaysia Keenam.

Ingatkan tahun ini dapatlah juga melihat kereta terbang, laluan atau persimpangan melebihi empat, lima tingkat seperti yang sering dibayangkan kepada anak-anak kecil sekitar tahun 1990-an.

Ingatkan dapatlah tengok bangsa Malaysia yang bersatu padu dan masyarakat demokratik matang seperti terkandung dalam sembilan matlamat yang digariskan Dr Mahathir pada tahun 1991.

Masa mula-mula mendengar lagu Wawasan 2020 berkumandang dari televisyen dan radio kira-kira tiga dekad lalu, penulis baru Darjah Satu dan tidak sangka dapat menjejakkan kaki ke tahun yang dinanti-nantikan.

Paling tidak sangka apabila 2020 adalah tahun yang penuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dan segala jenis perintah kawalan, bahkan ‘nikmat’ tahun 2020 itu rupa-rupanya hanya dapat kita kecap sehingga 17 Mac lalu.

Kita bukan sahaja mengikut SOP dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal atau sosial, malah kita bawa bersama pensanitasi tangan, sejadah atau telekung walau ke mana sahaja bagaikan budaya baharu masyarakat.

Tiada kereta terbang dan persimpangan atau laluan melebihi empat, lima tingkat tahun ini seperti yang dibayangkan kepada kanak-kanak 90-an dahulu.
Tiada kereta terbang dan persimpangan atau laluan melebihi empat, lima tingkat tahun ini seperti yang dibayangkan kepada kanak-kanak 90-an dahulu.

Tersalah doa

Apabila melihat ramai yang memakai pelitup muka, terus teringat kata-kata penulis ketika berada di Korea Selatan, Kemboja dan Vietnam selepas melihat tingkah laku penduduk tempatan di sana.

Sebenarnya, ketika berada di sana, penulis teringin melihat rakyat Malaysia memakai pelitup muka di tempat awam kerana pada pendapat penulis udara di Malaysia tidak sebersih mana terutama di kawasan bandar.

Negara seperti Korea Selatan yang maju dan disangka mempunyai udara bersih serta tidak berdebu itu pun terdapat ramai penduduk memakai pelitup muka, inikan pula di Malaysia yang selalu berjerebu.

Bagaimanapun, penulis teringin melihat Muslim di Malaysia boleh solat di mana-mana termasuk di kawasan tersorok sedikit di bawah tangga dan 'fitting room' di pasar raya.

Bukanlah mahu menggalakkan sikap menunjuk-nunjuk melakukan ibadat tetapi penulis teringin melihat budaya mengutamakan solat walau di mana berada dan semua Muslim di Malaysia dikurniakan rezeki solat pada awal waktu.

Penulis sedar bahawa mustahil melihat situasi itu kerana ia bukan budaya di Malaysia, malahan kebanyakan bangunan atau tempat awam di negara ini mempunyai surau selain masjid mudah ditemui di tepi jalan.

Bagaimanapun, pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sehingga surau dibuka kepada awam, ALLAH beri juga penulis lihat orang Malaysia solat di kawasan tertentu melalui gambar yang tular di media sosial.

Kini, terdapat ramai yang membawa sendiri sejadah atau telekung atau meletakkannya dalam kenderaan masing-masing sebagai persediaan untuk solat di mana-mana.

Apabila difikir semula, apa yang penulis minta ketika mengembara ke negara orang dahulu seolah-olah dimakbulkan-NYA kini, cuma dalam keadaan negara dan dunia ‘diserang’ koronavirus (Covid-19).

Itulah orang kata, kita perlu menggunakan perkataan yang tepat ketika memasang niat, berdoa atau meminta daripada-Nya.

Sebenarnya, kita juga kena berjaga-jaga dengan setiap tutur kata yang keluar dari mulut atau niat terbit dari hati walau di mana kita berada dan dalam apa jua situasi.

Pendek kata jangan sampai tersalah doa. Jadi, marilah kita doa bersama-sama supaya pandemik Covid-19 di Malaysia dan seluruh dunia segera berakhir.

Semoga tiada lagi pengumuman lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semoga PKP benar-benar berakhir pada 31 Disember ini.

Semoga kita dapat jalani tahun 2021 tanpa sebarang virus atau endemik serta pandemik dan dapat hidup aman damai di Malaysia yang permai ini. Amin Ya Mujib.

* Siti Shahrosamirah Shaharman ialah Web Master portal Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!