X

Kindly register in order to view this article
!

Ekuinas agih untung RM120 juta kepada PNB

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan penyerahan pengagihan untung Ekuinas oleh Pengerusinya, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda kepada Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A

EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas) mengumumkan pengagihan RM120 juta keuntungannya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) untuk manfaat pemegang unit Bumiputera dalam dana amanah diuruskan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, pengagihan RM120 juta adalah sebahagian daripada keuntungan bersih Ekuinas setelah penutupan Ekuinas Direct (Tranche I) Fund yang juga dikenali sebagai Dana I.

Menurutnya, jumlah diagihkan kepada PNB setakat ini ialah RM320 juta yang mana RM200 juta diagihkan pada 2014.

“Prestasi Ekuinas sehingga ke hari ini telah membuktikan model ekuiti persendirian memainkan peranan positif dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

Ia dapat dilihat melalui pencapaian kami yang berjaya menjana pulangan daripada pelaburan, seterusnya mengagihkan keuntungan kepada Bumiputera secara meluas.

“PNB merupakan institusi yang sesuai untuk disalurkan pengagihan kerana mempunyai platform terbaik memandangkan rangkaian pemegang unit amanah Bumiputera yang luas, sejajar dengan objektif sosial Ekuinas untuk meningkatkan kekayaan Bumiputera secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Katanya, Ekuinas menubuhkan satu kerangka kerja untuk pengagihan yang menetapkan jumlah prinsipal diperoleh daripada pelaburannya.

“Keuntungan dijana akan dibahagikan secara adil dengan memperluaskan aktiviti pelaburan selanjutnya dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah ILTIZAM, manakala lebihannya pula akan diperuntukkan untuk pengagihan kepada masyarakat Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB berbesar hati dapat memainkan peranan dalam pengagihan keuntungan untuk manfaat Bumiputera, seiring dengan misi PNB iaitu menjana dan meningkatkan kekayaan masyarakat Bumiputera dan rakyat Malaysia.

Ekuinas ditubuhkan pada 2009 untuk menyediakan pembiayaan ekuiti persendirian kepada syarikat dan usahawan berpotensi tinggi di samping meningkatkan kekayaan dan penyertaan Bumiputera secara mampan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!