Menelusuri identiti negara

No Image Caption
A
A
A

PEMBENTUKAN negara bangsa seolah-olah menjadi debat yang mempertikaikan antara telur dan ayam, yang mana satu terhasil dahulu? Bangsa atau negara wujud dahulu? Joireman (2003) menjelaskan bahawa negara bangsa tidak terjadi secara sengaja atau tanpa sumber punca.

Negara bangsa adalah produk abad ke-15 yang terhasil daripada keperluan politik, ekonomi, kapitalisme, mercantilism, geografi, kartografi dan sebagainya.

Beliau menjelaskan bangsa wujud dahulu kemudian nasionalis berjuang untuk menuntut kedaulatan. Rentetan itu, negara diwujudkan.

Modernisasi melihat nasionalisme merupakan pendorong kepada pembentukan negara bangsa sebagai sebuah produk kerajaan yang bermatlamat untuk perpaduan negara.

Tidak banyak negara yang dibentuk berasaskan bangsa utama yang mendiami sesebuah negara. Ini berlaku khususnya selepas Perang Dunia Kedua di mana pertumbuhan negara bangsa yang sangat pesat dalam sejarah, tetapi pada asasnya tidak berasaskan prinsip bangsa dan negara.

Ia ada hubungan rapat dengan penjajahan Barat ke atas sesebuah kawasan dan akhirnya terbentuknya sebuah nation-state apabila negara penjajah itu meninggalkan negara itu dan memberikan kemerdekaan kepada kawasan dijajahnya.

Akhirnya apa yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua banyak negara yang terbentuk lebih kepada warisan bekas penjajah daripada berasaskan bangsa utama yang menduduki sesebuah negara.

Tidak terkecuali Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya Persekutuan Malaysia dibentuk bukan sepenuhnya atas nama bangsa utama yang mendiami tetapi lebih kepada warisan bekas tanah jajahan British.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Sebuah suruhanjaya dikenali Suruhanjaya Reid ditugaskan menggubal perlembagaan Tanah Melayu.

Perlembagaan Persekutuan terhasil setelah beberapa mesyuarat dan persidangan dilakukan untuk mendapat maklum balas.

Proses dan kegiatan ekonomi, politik dan penjajahan di Malaysia sejak akhir abad ke-18 telah membentuk ciri-ciri negara yang disifatkan sebagai one state, multiple nations. Malaysia dicirikan dua kumpulan utama iaitu Melayu/bumiputera dan bukan bumiputera/Melayu.

Proses dan perancangan politik di Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada kumpulan-kumpulan ini dan sehingga kini belum wujud bangsa Malaysia.

Ini kerana pertembungan dengan dasar British yang tidak bersetuju sepenuhnya dengan dasar kumpulan dominan Melayu.

Jamin

Proses persetujuan kepada pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 tidak dapat dipisahkan daripada persoalan one state, one nation.

Tunku Abdul Rahman menolak pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai gabungan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura sahaja.

Tunku berpendapat bahawa ia bertentangan dengan perjuangan bangsa Melayu dan kestabilan politik orang Melayu dalam jangka panjang.

Di sinilah Tunku hanya bersetuju jika British bersetuju menyerahkan tanah jajahan British di pulau Borneo yang mempunyai penduduk bumiputera yang ramai yang dapat mengimbangi penduduk imigran.

Perkembangan yang berlaku pascamerdeka menunjukkan satu usaha ke arah pembentukan sebuah negara bangsa berkekuatan satu kumpulan dominan bagi menjamin kestabilan negara dalam jangka panjang.

Dalam usaha itu, Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih bercirikan one state, two nations perlu kepada usaha pembentukan sebuah kumpulan dominan Melayu yang lebih berpengaruh bagi menjamin kestabilan.

Kestabilan politik dan perancangan jangka panjang dan kecintaan terhadap kepentingan negara perlu lebih diutamakan.

Dalam menyambut usia negara ke-63 tahun atas nama Persekutuan Tanah Melayu dan 57 tahun atas nama Malaysia, usaha untuk menoktahkan identiti Negara Bangsa secara muktamad itu masih lagi satu proses berterusan di pentas wacana dan diskusi warganegaranya yang mendukung semangat Malaysia Prihatin.

Dirgahayu Negaraku Malaysia tiada duanya.

* Ku Hasnan Ku Halim ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia