MAHB sasar shopMYairports sumbang jualan 10 peratus

Dr Wee Ka Siong (tengah) menunjukkan antara barangan yang dijual melalui platfom e-dagang shopMYairports selepas melancarkan platfom itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Perniagaan Komersial (MAHB) Hani Ezra Hussin (kanan). -Foto: Bernama

A
A
A

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan platform pengembaraan-peruncitan shopMYairports akan menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus bagi jualan segmen bukan aeronautikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pihaknya menyasarkan platform tersebut mampu meraih jualan RM280 juta dalam tempoh dua tahun hingga tiga tahun akan datang.

Pengendali lapangan terbang itu berjaya mencatat jualan berjumlah RM2.8 bilion pada tahun lepas sebelum penularan koronavirus (Covid-19).

“Platform shopMYairports adalah sebahagian daripada pelan lapangan terbang 4.0 MAHB di bawah inisiatif transformasi digital bagi meningkatkan pengalaman penumpang, khususnya aspek runcit.

“Ia juga menjadi sebahagian daripada usaha memacu pemulihan perniagaan peruncit di lapangan terbang yang terjejas teruk akibat pandemik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran platform itu yang disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Sepang, Selangor hari ini.

Mohd Shukrie berkata, sebanyak 39 lapangan terbang kendalian MAHB di seluruh negara akan mempunyai akses terhadap platform shopMyairports.

“Fasa pertama shopMYairports menumpukan pengembara domestik dan mereka yang membeli-belah dari rumah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: