Nilai strategik sumber air

No Image Caption
A
A
A

SEKIRANYA Semenanjung Malaysia diserang musuh, pihak Singapura dipercayai akan bertindak pantas dengan menghantar pasukan tenteranya bagi melindungi sumber bekalan air mentah negara itu di Johor.

Guards adalah unit elit tentera Singapura dengan keupayaan melakukan penyusupan lintas udara menggunakan helikopter, operasi amfibia selain mahir dalam pertempuran di kawasan bandar.

Empangan Tasik Linggui di Kota Tinggi dibina oleh republik itu pada tahun 1988 dengan kos RM900 juta dan mula beroperasi tujuh tahun kemudian.

Ia dianggarkan menyimpan kira-kira 763 juta gelen air yang diselenggara sepenuhnya oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB).

Bekalan air mentah dari empangan itu diproses menerusi Loji Rawatan Air Sungai Johor di Kota Tinggi untuk disalurkan terus ke pulau berkenaan. Menerusi Perjanjian Air 1962, Singapura menerima 250 juta gelen air mentah sehari dari Johor sebelum menjual kembali lima juta gelen air terawat.

Sebelum ini, Singapura bergantung kepada Loji Air Gunung Pulai dengan kapasiti simpanan 1,220 juta gelen air tetapi dikembalikan kepada Johor tiga tahun lalu.

Selain Empangan Linggui, Singapura mempunyai 17 kawasan tadahan air dalam negara yang dijaga rapi. Bagi negara kota Singa itu, bekalan air adalah sumber strategik negara bagi kepentingan 5.7 juta penduduknya.

Pengalaman semasa Perang Dunia Kedua yang menyaksikan pertahanan tentera Berikat di Singapura hanya mengambil masa seminggu untuk ditewaskan Jepun setelah terputus bekalan air menjadi sebab mengapa sumber mentah itu kritikal bagi republik itu.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, banyak negara khususnya negara maju telah meletakkan sumber air sebagai aset strategik dan menjadi antara keutamaan yang perlu dilindungi.

Ini kerana sumber air akan memberi implikasi besar bukan sahaja kepada penduduk tetapi boleh melumpuhkan ekonomi.

Amerika Syarikat (AS), misalnya, turut menjadikan krisis air sebagai alat diplomasi antarabangsanya apabila mewujudkan US Government Global Water Strategy atau Globalwater bagi membantu negara dunia ketiga.

Menerusi Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), Globalwater giat membangunkan kemudahan membekalkan air bersih, sistem pengairan dan kemudahan sanitasi yang sebenarnya adalah instrumen politik negara kuasa dunia itu yang turut melibatkan kerjasama 17 jabatan dan agensi.

Di Malaysia, sumber air masih lagi dianggap sebagai bekalan terbuka dan mudah diperoleh serta dibekalkan pada kos yang murah.

Bagaimanapun, krisis bekalan air yang kerap berulang di negeri tertentu memerlukan pihak-pihak berkepentingan agar membuka mata supaya punca bekalan air seperti sungai dan kawasan tadahan hujan dilindungi.

Atas faktor geografi, lembangan sungai di negara kita terutama di kawasan muka sauk sangat terdedah dengan risiko berlaku pencemaran.

Pencemaran kimia, misalnya, memaksa operasi loji dihentikan kerana loji tidak mampu untuk merawat bahan kimia tersebut.

Atas sebab itu, perlu dikaji keperluan agar lokasi sumber bekalan air seperti sungai tertentu diletakkan sebagai Instalasi Sasaran Penting (ISP) negara sama seperti empangan, penjana kuasa elektrik, lapangan terbang dan pelantar minyak.

ISP dilindungi menerusi penubuhan Pusat Sasaran Penting bermula April 1962 dan dikawal tentera yang pada masa itu bimbang sekiranya berlaku tindakan sabotaj pengganas komunis.

Ketika ini, terdapat 13 sektor ISP dilindungi atas faktor ancaman semasa yang masih relevan kerana sebarang tindakan sabotaj daripada musuh akan melumpuhkan kestabilan ekonomi dan sosial masyarakat.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu