Program nuklear Arab Saudi bimbangkan Israel

Riyadh mahu membina 16 reaktor tenaga nuklear menjelang tahun 2040. - Foto AFP
Riyadh mahu membina 16 reaktor tenaga nuklear menjelang tahun 2040. - Foto AFP
A
A
A

PROGRAM nuklear yang mahu dibangunkan Arab Saudi bukan sahaja membimbangkan pihak perisikan Amerika Syarikat (AS) tetapi juga Israel yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.

Kebimbangan itu berlaku kerana menurut portal berita negara Yahudi itu, Walla, Arab Saudi berkemungkinan mampu untuk menghasilkan senjata nuklear pada masa depan.

Tel Aviv juga dikatakan bimbang dengan kerjasama nuklear yang terjalin antara Riyadh dengan Beijing baru-baru ini.

Seorang pegawai Israel yang tidak dinamakan dalam portal berita itu pula menyatakan terdapat sebuah kilang rahsia di Arab Saudi dekat ibu kota negara tersebut yang terlibat dalam proses pengayaan uranium.

"Terdapat tanda-tanda kebimbangan tetapi masih tidak jelas kepada kami apakah yang sebenarnya terjadi di kilang tersebut," kata pegawai tersebut kepada Walla baru-baru ini.

Akhbar Wall Street Journal dan New York Times pernah melaporkan pegawai-pegawai perisikan AS menyatakan mereka bimbang tentang kemungkinan Riyadh mampu untuk membina senjata nuklear.

Kebimbangan itu adalah disebabkan oleh negara beraja tersebut yang dibantu oleh China bagi membangunkan sebuah kemudahan untuk mendapatkan uranium 'yellowcake' iaitu sejenis serbuk pekat uranium daripada bijih uranium yang mampu diperkayakan menjadi bahan bakar untuk senjata nuklear.

Bagaimanapun, Kementerian Tenaga Arab Saudi dilaporkan menafikan kewujudan kemudahan seumpama itu dekat Al Ula.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang diketahui sebelum ini bahawa Arab Saudi pernah mengekstrak sejumlah kecil bijih uranium dengan bantuan China dan Jordan.

Beijing dipilih oleh Arab Saudi untuk terlibat dengan projek itu kerana ia tidak memerlukan jaminan bahawa pembinaan kemudahan nuklear di negara itu bukan hanya digunakan untuk tujuan keamanan sahaja.

Emiriah Arab Bersatu merupakan negara Arab pertama yang mempunyai loji tenaga nuklear di Barakah. - Foto AFP
Emiriah Arab Bersatu merupakan negara Arab pertama yang mempunyai loji tenaga nuklear di Barakah. - Foto AFP

Pada tahun 2018, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dilaporkan pernah berkata, "Arab Saudi tidak mahu memiliki bom nuklear tetapi tanpa sebarang keraguan jika Iran membangunkan sebuah bom nuklear, kami akan mengikutinya secepat yang boleh."

Putera Mohammed berkata demikian dalam satu temu ramah dengan stesen televisyen CBS di AS.

Iran memang diketahui mempunyai perselisihan dengan Arab Saudi sejak berdekad-dekad lamanya.

Sebelum ini, Arab Saudi meningkatkan rancangannya untuk membina dua buah reaktor nuklear awam sebagai sebahagian daripada rancangan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil minyak.

Menurut portal berita Walla, perkhidmatan perisikan Israel, kementerian luar negara itu dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengikuti perkembangan program nuklear Arab Saudi.

Negara Yahudi itu pula dipercayai mempunyai senjata nuklear sentiasa menentang usaha negara lain di rantau Arab untuk memperoleh senjata yang bukan konvensional.

Bagaimanapun, loji tenaga nuklear Barakah yang bernilai AS$20 bilion (RM83.01 bilion) di Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah yang pertama terdapat di Semenanjung Arab.

Loji itu itu dibina dengan bantuan Korea Selatan bagi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk negara itu.

Pada tahun lalu, seorang pakar nuklear, Dr. Paul Dorfman memberitahu akhbar Telegraph bahawa program nuklear UAE mungkin menyebabkan berlaku perlumbaan senjata nuklear di Aia Barat.

Tel Aviv bimbang jika Arab Saudi mampu menghasilkan senjata nuklear pada masa depan. - Foto AFP
Tel Aviv bimbang jika Arab Saudi mampu menghasilkan senjata nuklear pada masa depan. - Foto AFP

Dorfman daripada Kumpulan Perunding Nuklear berkata, UAE mungkin berharap untuk menggunakan prgram tersebut bagi membangunkan senjata nuklear dan memberi amaran loji nuklear negara tersebut bakal menjadi sasaran pengganas,

Kini, Arab Saudi mahu mengikut jejak UAE menjadi negara Arab kedua mempunyai loji tenaga nuklear.

Sehubungan itu, AS dikatakan cuba meyakinkan Riyadh supaya mengikuti program nuklear UAE yang digunakan untuk tujuan aman ketika Putera Mohammed berikrar untuk memperoleh senjata nuklear jika Iran berjata menghasilkannya.

Seorang penganlisis, Antonio Occhiuto daripada firma perunding Analitis Negara-Negara Teluk yang beribu pejabat di AS dilaporkan berkata: "Berdasarkan kenyataan (Putera) Mohammed bin Salman dan (Arab Saudi) yang enggan menandatangani protokol untuk pengayaan uranium, kami tidak tidak dapat mengetepikan program tersebut akan digunakan untuk tujuan ketenteraan."

Dia juga menambah bahawa negara tersebut kaya dengan bahan uranium sekali gus membolehkan Riyadh membina senjata nuklear jika ia mahu.

Justeru, program nuklear Arab Saudi yang bercita-cita membina 16 reaktor tenaga itu di seluruh negara menjelang tahun 2040 bukan sahaja membimbangkan Israel dan AS tetapi juga mencetuskan perlumbaan tenaga nuklear di rantau Asia Barat.