Bekalan air pulih capai tahap hampir 81 peratus 

Sebanyak 1,045 kawasan atau 80.88 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh daerah di Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 petang tadi.
Sebanyak 1,045 kawasan atau 80.88 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh daerah di Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 petang tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,045 kawasan atau 80.88 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh daerah di Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, baki 247 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Menurutnya, semua lokasi terjejas di Hulu Selangor sudah pulih sepenuhnya manakala Kuala Selangor mencatat peratusan pemulihan 99.62 peratus, diikuti Petaling (92.43 peratus), Gombak (84.67 peratus), Kuala Langat (75 peratus), Kuala Lumpur (70.85 peratus) serta Klang dan Shah Alam (39.55 peratus).

"Sebanyak 24 kawasan terjejas dalam kumpulan 1 yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi masih belum menerima bekalan air.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu menasihatkan pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Pihaknya juga menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan bekalan air.

"Pengguna dinasihatkan merujuk aplikasi dan semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air.

Artikel Berkaitan:

"Kami mohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain" katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh daerah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Tujuh daerah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.