KASA cadang tubuh Unit Jenayah Alam Sekitar

KASA cadang kerjasama antara ATM, PDRM cegah pencemaran alam sekitar

Tuan Ibrahim (tiga dari kanan) ketika lawatan ke Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 di Bestari Jaya semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (empat dari kanan).
Tuan Ibrahim (tiga dari kanan) ketika lawatan ke Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 di Bestari Jaya semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (empat dari kanan).
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang menubuhkan Unit Jenayah Alam Sekitar membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Secara dasarnya, Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk meletakkan KASA di bawah sektor keselamatan.

"Isu berkaitan air dan alam sekitar dilihat berpotensi menjejaskan keselamatan negara terutamanya ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya selepas melakukan lawatan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) Jalan Bukit Badong di sini.

Tuan Ibrahim berkata, perkara itu juga akan dibawa kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk tindakan lanjut.

"Unit yang ditubuhkan ini akan menyelaras tindakan bersama antara agensi penguatkuasa KASA dengan ATM dan PDRM," katanya.

Pada masa ini, katanya, tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan di peringkat kementerian menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Agensi (penguatkuasaan) sudah ada, namun memerlukan sokongan agensi lain supaya penguatkuasaan dapat diperkasakan "Penglibatan polis dan agensi lain penting bagi memastikan jenayah pencemaran tidak berlaku pada masa depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan air di semua kawasan terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pencemaran di Sungai Gong, Rawang yang menyebabkan empat LRA dihenti tugas dijangka pulih sepenuhnya Rabu ini.

"Sebahagian besar kawasan sudah menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat dan hanya sebilangan kecil kawasan masih dalam proses pemulihan.

"Insya-ALLAH keseluruhan bekalan (akan) dapat diselesaikan pada jam 6 pagi, 9 September ini," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran di Sungai Gong itu dijangka siap dalam waktu terdekat.

"Siasatan akan dijalankan melalui JAS dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.