Isu Veveonah: MP Kudat arah pegawai jalankan siasatan

Abdul Rahim Bakri
Abdul Rahim Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - “Apabila sesuatu publisiti tidak baik dilakukan terhadap kawasan saya, selaku Ahli Parlimen Kudat yang bertanggungjawab, saya melakukan siasatan,” tegas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Abdul Rahim berkata, beliau mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan terperinci selepas video mengenai pelajar, Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet viral di laman sosial.

“Hasil pertemuan pegawai saya, Ambang Sobul dengan Ketua Kampung Sepatalang dan Ketua Kampung Bilangau Besar mendapati keluarga pelajar terbabit sudah lama tidak tinggal di Kampung Sepatang, sebaliknya kini menetap di Pekan Pitas yang mempunyai perkhidmatan internet. Bagaimana dia (pelajar) boleh mendakwa tinggal di kampung terbabit?

“Pelajar ini sebenarnya sengaja membuat drama, padahal perjalanan cerita dramanya tidak betul dan tidak berasas serta sengaja ingin mendapatkan perhatian dan publisiti,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau semalam.

Abdul Rahim berkata, tiada peperiksaan diadakan pada hari berkenaan sebaliknya hanya kelas biasa yang dijalankan secara atas talian.

“Maklumat ini saya dapat daripada dekan fakulti dan seorang pensyarah universiti terbabit. Malah menurut mereka, pelajar yang tidak mendapat akses internet boleh memilih untuk tinggal di kampus atau pergi ke pejabat daerah, sekolah atau bandar yang berhampiran untuk mendapatkan perkhidmatan internet,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahidi mohon maaf dakwa Veveonah tak ambil peperiksaan

Justeru itu, katanya, beliau tidak pasti apa motif penerbitan video tersebut yang dimuat naik di YouTube dan ditonton di seluruh negara.

“Selaku wakil rakyat, saya tidak pernah sunyi berusaha dan meminta kemudahan yang terbaik untuk kawasan saya. Tetapi ada yang sudah berjaya diperolehi ada yang masih menunggu pelaksanaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun usaha tetap berterusan untuk membawa pembangunan dan kebaikan pada rakyat dan tidak pernah terhenti.

“Namun saya tidak menyalahkan dan berjiwa besar kerana sebagai anak muda yang masih belum berpengalaman kelemahan dan kesilapan pasti berlaku dalam hidup,” katanya.