Rancangan Geopark Lenggong tidak jejaskan tapak warisan dunia

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (tiga, kanan) meninjau pameran sempena Seminar Aspirasi Lenggong Geopark di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (tiga, kanan) meninjau pameran sempena Seminar Aspirasi Lenggong Geopark di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.
A
A
A

LENGGONG - Pembangunan program Geopark di Lembah Lenggong tidak akan menjejaskan Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha itu menjadi pelengkap ke arah memperkukuhkan lagi pengiktirafan berkenaan menerusi pembangunan secara terancang dan kajian saintifik oleh kumpulan pakar ahli geologi.

"Perancangan pembangunan di kawasan ini akan dilakukan secara teliti dengan mengambil kira pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang diperoleh sejak 2012 lalu.

"Kebimbangan kita sebenarnya ialah penarikan balik (pengiktirafan UNESCO) jika usaha pemuliharaan tidak dilakukan. Bagaimanapun saya cukup yakin Geopark Lenggong pelengkap ke arah memperkukuhkan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Aspirasi Lenggong Geopark di Dewan Merdeka Lenggong di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju; Exco Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Komunikasi Multimedia, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, kementeriannya menetapkan sasaran supaya Lenggong mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan pada pertengahan tahun hadapan dan pengiktirafan Geopark Global pada 2025.

Katanya, selari dengan sasaran itu, kementerian telah mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM4.3 juta melibatkan kerja-kerja mengenal pasti, menciri, menilai, memulihara dan menaik taraf geotapak yang berpotensi untuk dibangunkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berpandangan sudah tiba masanya kita mengetengahkan suatu konsep pembangunan wilayah secara lestari dan bersepadu di sini melalui pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan.

"Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan terus membantu kerajaan negeri dari sudut saintifik, teknikal dan program kesedaran bersama masyarakat," katanya.