JHEAT siasat penyebaran fahaman Batiniah di Terengganu

Mat Azmi Arshad
Mat Azmi Arshad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima laporan dan sedang menyiasat penyebaran fahaman Batiniah secara sembunyi oleh seorang tenaga pengajar di negeri itu.

Pesuruhjayanya, Mat Azmi Arshad berkata, JHEAT turut mendapatkan kepakaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperoleh bukti kukuh terhadap penyebaran ajaran tersebut.

“Berdasarkan laporan, terdapat satu kes liberal di Terengganu dan kes ini masih menunggu kepakaran dalam bidang akidah daripada Jakim kerana ia melibatkan ajaran yang lebih kepada fahaman Batiniah.

“Pihak kita juga sedang mengumpulkan bukti yang kukuh serta turut bekerjasama dengan pihak keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum membuat sebarang tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hafl El-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2019 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Mat Azmi berkata, siasatan dijalankan hasil maklumat orang orang awam yang curiga dengan penyebaran ajaran yang dipercayai dibawa dari luar Terengganu kerana mengandungi unsur yang meragukan.

Katanya, penyebar fahaman itu menggunakan taktik licik apabila turut menggunakan kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai 'rujukan' ketika mengajar di lokasi pertemuan bersama pengikutnya.

“Isunya sekarang mereka ‘cermat’ dan ‘pandai’ ketika disoal siasat. Oleh kerana di Terengganu lebih kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, mereka mengambil kitab-kitab berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jadi fahaman berkaitan Batiniah itu tidak dipaparkan.

“Kalau dahulu kebanyakan ajaran diambil daripada buku-buku. Sekarang mereka tidak membawa buku mengajar. Sebab itulah kita perlukan penelitian dalam hal ini termasuk kaedah yang digunakan untuk penyebaran fahaman itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai saki baki pengikut ajaran sesat 'Kerajaan Langit' yang diasaskan Ayah Pin, Mat Azmi berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang amalan sama di negeri itu.

“Di Terengganu belum ada sebarang laporan atau penemuan yang berkaitan dengan ajaran sesat Kerajaan Langit. JHEAT akan sentiasa memantau bagi memastikan tiada penularan ajaran yang menyeleweng akidah Islam,” katanya.