Jangan gentar gergasi hoki dunia

Subahan Kamal menyerahkan Jalur Gemilang kepada Oltmans sebelum Malaysian Tigers mendaftar masuk di kaunter klia2 untuk berlepas ke Bhubaneswar, India bagi menghadapi saingan Piala Dunia Hoki 2018 yang akan bermula secara rasminya Rabu ini.
Subahan Kamal menyerahkan Jalur Gemilang kepada Oltmans sebelum Malaysian Tigers mendaftar masuk di kaunter klia2 untuk berlepas ke Bhubaneswar, India bagi menghadapi saingan Piala Dunia Hoki 2018 yang akan bermula secara rasminya Rabu ini.
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) percaya skuad hoki lelaki negara bakal mencipta kejutan dan tidak menjadikan pasukan gergasi dunia sebagai halangan dalam mempamerkan aksi terbaik pada saingan Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India yang dijadualkan bermula Rabu ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata beliau mahu ‘The Speedy Tigers’ menjadikan kemenangan ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina pada Mac lepas sebagai inspirasi meraih keputusan cemerlang menentang Jerman dan Belanda yang diletakkan dalam Kumpulan D bersama Malaysia.

“Malaysia berkemungkinan cipta kejutan kerana saya ada maklumkan kepada pemain supaya jangan merasakan pasukan gergasi dunia sebagai satu halangan. Kita pernah menang dengan Argentina, maksudnya kita boleh kalahkan mana-mana pasukan pun. Mereka hanya perlu lakukan yang terbaik, bila mereka buat yang terbaik dan kita tidak tahu apa yang akan terhasil.

“Kita selalu sebut mengenai Pakistan tapi secara atas kertas, Malaysia sepatutnya boleh menang dengan Pakistan kerana ranking kita lebih tinggi. Tapi saya tidak nafikan Pakistan adalah sebuah pasukan yang kuat sama seperti India.

“Hanya kedudukan yang membezakan. Saya rasa kuatnya sama. Jika kita boleh kalahkan India, saya yakin kita boleh buat benda sama ke atas Pakistan,” katanya kepada media selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang akan memulakan cabaran di India bermula pada 28 November hingga 16 Disember ini.

Selain Malaysia, kejohanan itu disertai Argentina, Australia, Belgium, Kanada, China, England, Perancis, Jerman, India, Ireland, Belanda, New Zealand, Pakistan, Afrika Selatan dan Sepanyol.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan D akan bertemu juara tiga kali Belanda dalam perlawanan pembukaan pada 1 Dis sebelum menentang juara empat kali Pakistan empat hari kemudian dan juara dua kali Jerman pada 9 Disember.

Malaysia mengintai kedudukan 10 terbaik dalam saingan 16 negara itu selepas menamatkan kempen di tempat terakhir daripada 12 negara pada edisi 2014 di The Hague, Belanda manakala pencapaian terbaiknya ialah di tangga ke empat semasa negara menjadi tuan rumah pada 1975.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negara Roelant Oltmans percaya pasukan negara bersedia dari segi mental dan juga fizikal untuk menghadapi Piala Dunia dan mengakui yang beliau tidak pernah lihat sebarang tekanan dihadapi pemain walaupun Malaysia berada di dalam kumpulan paling sengit bersama Pakistan, Belanda dan Jerman.

Artikel Berkaitan:


“Saya tidak lihat ianya sebagai tekanan. Kenapa perlu tertekan? Ia adalah apa yang ada. Kita perlu kena berasa yakin, kita telah sediakan diri kita. Harapannya kita akan lakukan yang terbaik, walaupun kita tahu pasukan lain amat kuat tetapi pasukan kita telah betul-betul meningkat. Yang paling penting, kekuatan mental mereka juga telah bersedia.

“Mereka perlu melihat secara keseluruhan kejohanan, bukan satu perlawanan. Sasaran 10 terbaik itu tidak mustahil tetapi kita perlu bermain di pusingan kedua supaya kita boleh tamatkan di kedudukan ke 9-10. Bagaimanapun apabila kita sudah berada di situ, kita tentunya mahu mencapai lebih baik,” katanya.

Keutamaan jurulatih dari Belanda itu ialah untuk menang sekurang-kurangnya sekali di peringkat kumpulan bagi memastikan pasukan negara layak ke pusingan kalah mati dalam penyertaan Piala Dunia kali ke lapan itu.

Mengikut format baru Piala Dunia, pasukan terbaik dari setiap empat kumpulan akan layak ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketika kumpulan akan bermain dalam pusingan kalah mati bagi menentukan pasukan yang layak bagi melengkapkan empat lagi pasukan yang layak ke suku akhir. - Bernama