Kedah siasat pelajar sekolah agama terpesong

Walid (dua dari kiri) memakaikan mafla Palestin kepada Muhammad Sanusi sebagai tanda kenangan ketika melakukan lawatan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kedah di Alor Setar hari ini.
Walid (dua dari kiri) memakaikan mafla Palestin kepada Muhammad Sanusi sebagai tanda kenangan ketika melakukan lawatan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kedah di Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengesan terdapat segelintir pelajar aliran agama sekolah menengah di negeri ini terpesong daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Malaysia.

Exco Agama Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan membabitkan kerjasama polis bagi mengenal pasti bagaimana fahaman berkenaan disebarkan sehingga masuk ke dalam sekolah.

"Saya dapat maklumat baru-baru ini yang mereka agak lari daripada Ahli Sunnah Wal Jammah. Sekarang kita sedang meneliti perkembangan mereka.

"Dia ada aliran yang agak ekstrem. Maksudnya ada unsur-unsur gabungan ajaran tasawuf dengan agak radikal. Insya-ALLAH kita akan bincang perkara ini dalam forum lebih besar," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Najimi ditemui ketika Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menerima kunjungan hormat Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Najmi berkata, pihaknya akan melanjutkan perbincangan dengan pihak keselamatan untuk mengesan bagaimana fahaman terbabit berkembang termasuk mengenal pasti individu terlibat.

"Ini kerana pengamal ajaran ini agak susah jika nak kesan secara zahir. Kita juga belum mengenal pasti sama ada ada guru sekolah terlibat atau tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hasil risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati fahaman dan ideologi yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jammah termasuk 'Freemason' kini sudah menjadi ancaman serius di negara ini.

Lebih-lebih lagi, katanya, ia kini mudah disebarkan melalui laman Facebook, Twitter, YouTube, WhatsApp dan Telegram sebagai alat propaganda songsang.

"Walaupun fahaman ini masih terkawal, namun kita akan mengambil tindakan awal bagi mengekang gerakan berkenaan.

"Ini bagi memastikan fahaman itu tidak merebak terlalu meluas seperti fahaman al-Arqam yang pernah menggemparkan negara satu ketika dulu," katanya.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan terdapat penularan fahaman liberal berkembang agresif menerusi media sosial di negara ini.