'Jangan cuba jadi hero isu Akta 446'

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Sumber Manusia mengingatkan pihak tertentu supaya tidak cuba menjadi hero dalam pelaksanaan Akta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) (Pindaan) 2019 dan cuba mempolitikkan hal tersebut.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, majikan mempunyai masa setahun untuk mengimplementasikan akta tersebut sejak diwartakan pada 13 September lalu.

"Kita faham ada pihak yang cuba menjadi hero tetapi ini bukan masanya untuk membuat sandiwara politik.

"Akta ini bukan baharu. Pindaannya telah diluluskan pada 19 Julai 2019," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, keperluan pelaksanaan akta tersebut mengambil kira kehendak antarabangsa dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan tidak adil jika KSM membatalkan atau menangguhkan pelaksanaan Akta 446 kerana sebahagian daripada industri sudah mematuhi akta tersebut.

Bagaimanapun Saravanan berkata, pihaknya sedia berbincang bersama majikan dan kesatuan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Pada 27 Mei lepas saya telah buat pengumuman untuk pelaksanaan akta ini dan dalam tempoh tiga bulan tiada sesiapa yang datang berjumpa saya untuk berbincang.

"Tetapi apabila dikuatkuasakan, ia tiba-tiba menjadi isu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, walaupun pelaksanaan bermula, KSM memberi peluang kepada majikan dengan tidak mahu mengeluarkan kompaun terlebih dahulu.

Menurutnya, sejak akta itu diwartakan, hampir 600 premis telah dilawati KSM membabitkan enam operasi.

Sebanyak 87 syarikat telah memohon perakuan Akta 446.

Minggu lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan tidak melayan sebarang alasan majikan yang gagal mematuhi akta tersebut selepas diberi tempoh selama tiga bulan.