Kilang degil terus operasi tanpa elektrik, air

Kilang melebur 'motherboard' yang dikesan masih beroperasi walaupun bekalan air dan elektrik sudah dipotong sebelum ini.
Kilang melebur 'motherboard' yang dikesan masih beroperasi walaupun bekalan air dan elektrik sudah dipotong sebelum ini.
A
A
A

HULU SELANGOR - Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melalui kenyataan hari ini memaklumkan pengusaha sebuah kilang melebur motherboard (papan litar bercetak) di kawasan Perindustrian Zurah bakal didakwa di mahkamah kerana masih berdegil meneruskan operasi walaupun bekalan air dan elektrik sudah dipotong melalui penguatkuasaan sebelum ini.

Kilang berkenaan didapati menggunakan generator ketika serbuan Operasi Penguatkuasaan Kilang Kitar Semula dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak polis baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, kilang tersebut pernah dikenakan tindakan penutupan oleh MDHS pada 10 Mei hingga 24 Mei lalu dan masih dalam tempoh penggantungan lesen perniagaan.

"Pihak majlis akan membuka kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan ke atas premis," menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam operasi berlainan MDHS memaklumkan, sebuah kilang kitar semula di Jalan Jejarum, Bukit Beruntung disita kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik.

Menurut kenyataan itu, premis itu tidak mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada JAS dan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dari MDHS.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, kilang tersebut turut didapati melepaskan sisa effluen ke dalam sistem perparitan di bawah seliaan MDHS.

"JAS mengambil tindakan mengunci dua unit mesin 'extruder' dan menampal notis Makluman Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a),Akta 127. Dua unit forklift dan aset boleh alih di dalam premis pula disita MDHS di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 38(1) Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu turut memaklumkan, MDHS akan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memastikan pemotongan bekalan elektrik dan air dilaksanakan bagi mengelakkan premis beroperasi semula.

"Kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini dan tindakan penguatkuasaan akan diambil jika terdapat premis yang melakukan kesalahan tersebut," menurut kenyataan itu lagi.