Tindakan Osman tidak jejas kerajaan negeri: MB Johor

Pengarah Iskandar Waterfront Holdings, Datuk Mohd Noorazam Osman (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MCC Singapura, Tan Zhiyong (kanan) disaksikan Hasni (tiga kanan) menunjukkan dokumen perjanjian dalam satu persidangan video menerusi Majlis Memeterai Perjanjian antara Iskandar Waterfront Holdings dan Metallurgical Corporation of China Bhd di Hotel Double Tree Hilton, Johor Bahru, hari ini.
Pengarah Iskandar Waterfront Holdings, Datuk Mohd Noorazam Osman (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MCC Singapura, Tan Zhiyong (kanan) disaksikan Hasni (tiga kanan) menunjukkan dokumen perjanjian dalam satu persidangan video menerusi Majlis Memeterai Perjanjian antara Iskandar Waterfront Holdings dan Metallurgical Corporation of China Bhd di Hotel Double Tree Hilton, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian tidak memberi sebarang kesan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini yang masih memiliki majoriti 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang makluman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu digugurkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, kerajaan PN ditubuhkan menerusi kerjasama parti Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Pas dan bukan berdasarkan individu.

"Sebagai ketua kerajaan, saya tidak menerima sebarang makluman mengenai perlucutan keahlian mana-mana ADUN (daripada parti mereka). Maka saya anggap 29 ADUN PN masih lagi kekal dan tidak berubah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Hartanah antara Iskandar Waterfront Holdings dan Metallurgical Corporation of China Bhd di Hotel Double Tree, di sini hari ini.

Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mengulas kedudukan kerajaan negeri berikutan tindakan Osman yang menyokong calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Perak baru-baru ini.

Tindakan Osman itu boleh menyebabkan beliau digugurkan keahlian Bersatu sekali gus mengakibatkan DUN Johor tergantung sekiranya beliau melompat parti dan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Jumaat lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, pihaknya memutuskan Osman kekal sebagai ahli parti tersebut dan akan memanggil beliau bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan itu.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan itu dibuat selepas laporan media awal sebelum ini memetik Megat Najmuddin berkata, keahlian Osman terhenti secara automatik selepas didapati melanggar Perkara 10.2.3 perlembagaan parti iaitu membantu kempen parti lawan.

"Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dan akhirnya rakyat yang terkesan. Kita perlu memberi keutamaan kepada rakyat," jelas Megat Najmuddin lagi.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, sebarang keputusan untuk membubarkan DUN Johor tertakluk kepada budi bicara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Sekiranya DUN Johor tergantung kerana Menteri Besar Johor tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN, dia boleh menasihati Tuanku untuk membubarkan DUN. Sama ada bubar atau tidak, itu terpulang kepada Tuanku," ujarnya.