X

Kindly register in order to view this article
!

Penjawat awam ambil upah hantar ketum sebagai kerja sambilan

Syed Basri (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam sebuah Perodua Alza dipandu seorang penjawat awam.
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang penjawat awam mengambil upah menjadi penghantar daun ketum sebagai pendapatan sampingannya.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar apabila keretanya ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Kuala Kuang, Baling kira-kira jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, ketika pemeriksaan, polis menjumpai 270 kilogram daun ketum bernilai RM10,800 dalam kereta jenis Perodua Alza yang dipandu lelaki berkenaan.

Beliau berkata, lelaki dari Kepala Batas, Alor Setar itu dikatakan dalam perjalanan mengambil upah menghantar daun ketum dari Pedu, Kuala Nerang untuk dihantar ke Gerik, Perak.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui sebanyak 34 bungkusan plastik warna hitam yang di dalamnya berisi balutan plastik lutsinar mengandungi daun hijau disyaki ketum yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan but kereta.

"Ketika disoal, lelaki itu mengaku mengambil upah membawa daun ketum berkenaan dengan bayaran RM800 bagi satu perjalanan. Kereta yang digunakannya pula disewa di Kepala Batas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syed Basri berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Difahamkan, harga daun ketum di ladang kini mencecah RM8 sekilogram dan dijual di Gerik antara RM30 dan RM40 sekilogram.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!