Hampir 300 etnik Rohingya mendarat di Pulau Sumatera

Sejumlah etnik Rohingya tiba dengan menaiki bot di Lhokseumawe, Pulau Sumatera awal hari ini. - Foto AFP
Sejumlah etnik Rohingya tiba dengan menaiki bot di Lhokseumawe, Pulau Sumatera awal hari ini. - Foto AFP
A
A
A

LHOKSEUMAWE - Hampir 300 migran Rohingya tiba di Pulau Sumatera, Indonesia awal hari ini, kata pihak berkuasa dalam satu ketibaan yang paling ramai di negara majoriti penduduk Islam itu dalam tempoh bertahun-tahun.

Mereka yang turut terdiri daripada lebih sedozen kanak-kanak dikesan berada di laut oleh penduduk tempatan yang kemudian menghulurkan bantuan dekat bandar Lhokseumawe, di pantai utara Pulau Sumatera, kata Ketua Kampung Ujong Blang, Munir Cut Ali.

"Kami melihat sebuah bot datang ke Ujong Blang dan kami kemudian membantu mereka mendarat dengan selamat," kata Munir kepada AFP.

Sekurang-kurangnya seorang anggota kumpulan itu yang termasuk 102 lelaki, 181 wanita dan 14 kanak-kanak sakit dan dihantar ke sebuah hospital tempatan untuk mendapatkan rawatan, kata ketua tentera di kawasan tersebut, Roni Mahendra.

Dia menambah bahawa kumpulan tersebut perlu diuji pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan tempatan kemudian akan mencari tempat yang sesuai untuk menempatkan mereka," ujarnya.

Setakat ini masih tidak diketahui berapa lama mereka berada di laut atau jenis bot yang mereka naiki.

Etnik Rohingya itu dilaporkan menjadi kumpulan teramai pernah mendarat di Indonesia sejak tahun 2015.

Artikel Berkaitan:

Pendaratan itu berlaku selepas kira-kira 100 etnik tersebut kebanyakannya wanita dan kanak-kanak tiba di kawasan sama pada Jun lalu dan mereka menggambarkan menempuh pelayaran yang sangat bahaya selama empat bulan di laut.

Ketika itu, mereka dipukul oleh para penyeludup manusia dan terpaksa minum air kencing untuk terus hidup. - AFP