Trump gesa Raja Arab Saudi galakkan kedamaian Timur Tengah

Trump meminta Raja Arab Saudi berunding dengan negara Teluk yang lain bagi mengatasi pertikaian berkaitan Israel di rantau Arab. - Foto AFP
Trump meminta Raja Arab Saudi berunding dengan negara Teluk yang lain bagi mengatasi pertikaian berkaitan Israel di rantau Arab. - Foto AFP
A
A
A

AMERIKA SYARIKAT - Presiden, Donald Trump meminta Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz berunding dengan negara-negara Teluk yang lain bagi mengatasi pertikaian di rantau itu yang berpunca daripada perjanjian antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel, diterajui Amerika Syarikat (AS), kata Judd Deere, Timbalan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, pada Isnin.

Siaran akhbar itu menyusul selepas perbualan telefon antara Trump dan Raja Salman, lapor agensi berita Sputnik.

"Trump memuji Presiden G20 Arab Saudi dan menyambut baik pembukaan ruang udara Arab Saudi antara Israel dan UAE, bermula dengan penerbangan komersial bersejarah minggu lalu dari Tel Aviv ke Abu Dhabi," ciap Deere di Twitter.

Menurut jurucakap itu, perbincangan berkenaan menyentuh mengenai "cara untuk meningkatkan keamanan dan kemakmuran wilayah" dengan penekanan terhadap kepentingan perjanjian UAE-Israel mengenai pemulihan hubungan, dikenali Abraham Accord.

"Trump turut mendesak Arab Saudi agar berunding dengan negara-negara Teluk lain untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Trump menekankan hubungan kerjasama yang kukuh antara AS dan Arab Saudi, dan mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman atas kepemimpinannya," kata Deere.

ARTIKEL BERKAITAN: UAE-Israel buka talian komunikasi

Timur Tengah kini dicengkam beberapa ketegangan, paling utama adalah konflik Israel-Palestin dan isu isu negara-negara Teluk lain memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Pada 13 Ogos, Israel dan UAE mencapai kesepakatan penting, untuk memulihkan hubungan, yang antara lain mendorong Israel menghentikan rancangan penguasaannya di Tebing Barat. Kedua-dua negara itu merancang untuk menandatangani pelbagai perjanjian kerjasama dalam pelaburan, pelancongan, keselamatan dan bidang lain dalam beberapa minggu akan datang.

Qatar dikenakan sekatan diplomatik dan ekonomi sejak Jun lalu, ketika UAE, Arab Saudi, Mesir dan Bahrain, antara lain, memutuskan hubungan diplomatik dan komunikasi dengan Doha, menuduhnya menyokong keganasan dan campur tangan dalam urusan dalaman mereka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Qatar menafikan tuduhan itu, dengan menegaskan faktor utama permusuhan adalah disebabkan negara-negara jiran tidak berpuas hati dengan kejayaan ekonominya. - Bernama