Perompak dicekup tidak sampai 24 jam

Antara barang yang dirampas termasuk sebuah kereta yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pecah rumah oleh suspek di sekitar Bandar Putra, Kulai, Johor.
Antara barang yang dirampas termasuk sebuah kereta yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pecah rumah oleh suspek di sekitar Bandar Putra, Kulai, Johor.
A
A
A

KULAI - Dua lelaki ditahan polis tidak sampai 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan Bangau 13, Bandar Putra di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, polis menerima laporan daripada pengadu rumahnya dipecah masuk pada jam 3.10 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Susulan itu katanya, serbuan dilakukan pada jam 6.50 pagi di tiga lokasi berasingan sekitar daerah ini dan menahan dua suspek lelaki tempatan masing-masing berusia 46 dan 27 tahun.

"Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas barang-barang kes disyaki hasil kegiatan pecah rumah termasuk sebuah tab, tiga unit hard disk pelbagai jenama dan empat unit telefon bimbit pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, turut dirampas dua unit kamus digital, satu unit portable wifi, lima utas jam tangan pelbagai jenama, sepasang anting-anting Swarovski, dua komputer riba, dua set pakaian lelaki, dua rangkai kunci dan dua kenderaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan Bandar Putra.

"Kedua-dua suspek juga mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau sebat bagi kesalahan bagi kali kedua," katanya.

Artikel Berkaitan: