Setuju identiti digital mudahkan proses pengesahan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
A
A
A

CYBERJAYA - Sebanyak 97 peratus rundingan awam bersetuju dengan Rangka Kerja Identiti Digital Nasional (NDID) akan memudahkan proses pengenalan dan pengesahan identiti.

Keputusan itu diperoleh hasil daripada lebih 35,383 maklum balas diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam kenyataannya, SKMM berkata, dapatan itu juga menunjukkan majoriti responden berminat untuk menggunakan NDID.

"Responden juga bersetuju bahawa NDID berpotensi meminimumkan kos keseluruhan untuk proses pengesahan identiti," katanya.

Menurut suruhanjaya itu, secara keseluruhan, 94 peratus kementerian dan agensi menunjukkan minat dan memberi pandangan positif terhadap pelaksanaan NDID.

NDID adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

"Hasil keputusan rundingan ini akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja NDID yang sesuai," katanya.

Sebanyak 35,160 maklum balas adalah daripada orang awam selebihnya terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan serta organisasi swasta.

Artikel Berkaitan:

Rundingan awam rangka kerja NDID ini yang berlangsung 13 Julai hingga 7 Ogos lalu melibatkan lebih 35,383 responden awam dan selebihnya terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan dan swasta.

Terdahulu SKMM diberi mandat untuk melaksanakan kajian komprehensif bagi membangunkan satu NDID.

Pelaksanaan kajian tersebut bertujuan mengenalpasti hala tuju dan keperluan untuk menyediakan Rangka kerja Identiti Digital Nasional di mana rundingan awam merupakan antara aktiviti libat urus bagi kajian ini.

Dengan pelaksanaan NDID kelak, orang ramai dijangka dapat mengakses dan melakukan pelbagai transaksi tanpa perlu mengingati pelbagai ID pengenalan dan kata laluan.

NDID tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti kewarganegaraan sebaliknya akan melengkapi sebagai bentuk pengenalan digital yang digunakan ketika transaksi secara digital.