Habis wang terbakar, maahad tahfiz perlu sumbangan

Mohd Alfakwil melihat tabung derma yang musnah dalam kejadian kebakaran pusat pengajian berkenaan Isnin lalu.
Mohd Alfakwil melihat tabung derma yang musnah dalam kejadian kebakaran pusat pengajian berkenaan Isnin lalu.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah pusat tahfiz memerlukan dana untuk membina dewan memasak susulan wang derma lebih RM5,000 untuk membina kemudahan itu hangus dalam kebakaran melibatkan Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin di Kampung Baru Lepar, Isnin lalu.

Mudirnya, Mohd Alfakwil Abdul Malek, 44, berkata, pihaknya tidak sempat untuk menyimpan wang tersebut ke dalam bank kerana tabung itu diletakkan di pejabat pentadbiran buat sementara waktu.

"Jika diikutkan, dewan memasak ini akan dibina dalam masa terdekat kerana sudah ada orang yang bersetuju untuk membinanya dengan tawaran RM5,000 tetapi kebakaran berlaku dan memusnahkan 40 peratus bangunan termasuk bilik pejabat pentadbiran. Wang tunai sumbangan daripada orang ramai musnah terbakar.

"Kini, saya terpaksa memikirkan cara mencari dana semula untuk membina dewan memasak sekali gus perbelanjaan untuk membaiki bangunan yang rosak kira-kira 40 peratus ini. Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan lebih RM200,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tambah Mohd Alfakwil, cadangan membina dewan memasak itu adalah di atas nasihat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyarankan satu ruang memasak dibina berasingan bagi tujuan keselamatan.

Katanya, tempat dan ukuran saiz sudah diputuskan namun hasrat itu tidak menjadi kenyataan berikutan kejadian malang itu.

Ujar Mohd Alfakwil lagi, buat masa ini Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan beberapa pihak lain sudah menyalurkan bantuan.

"Saya difahamkan anggota Markas Empat Briged (Mekanize) Kem Batu 10, Kuantan akan membantu membaiki dan membina semula bangunan yang rosak namun tarikhnya belum diputuskan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pihak yang prihatin yang berhasrat menghulurkan sumbangan untuk membeli pelbagai peralatan seperti Al quran dan buku agama begitu dialu-alukan. Pihak yang ingin menderma atau memberi sumbangan boleh menghubungi saya di talian 017 9780069," ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, Isnin lalu, sebuah kediaman dijadikan Maahad Tahfiz Al-Quran Waddin Kampung Baru Lepar terbakar bagaimanapun 13 pelajar lelaki dan lima kakitangannya sempat menyelamatkan diri.