Harapan kepada LRA Langat 2

Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bernilai RM4 bilion dijangka berupaya membekalkan air bersih dan terawat kepada kira-kira 1.87 juta pengguna. Gambar kecil: S Piarapakaran
Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 bernilai RM4 bilion dijangka berupaya membekalkan air bersih dan terawat kepada kira-kira 1.87 juta pengguna. Gambar kecil: S Piarapakaran
A
A
A

SHAH ALAM -Isu gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang yang semakin kerap berlaku mungkin tidak serius dan mampu dibendung sekiranya Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dapat beroperasi sepenuhnya ketika ini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, apabila Sungai Selangor yang menjadi sumber air kepada penduduk Lembah Klang tercemar, penyaluran bekalan air dari LRA sungai itu terpaksa dihentikan susulan operasi remediasi kawasan terkesan.

Menurutnya, sebaik sahaja operasi remediasi itu dilaksanakan serta-merta, lebih 60 peratus daripada penduduk sekitar Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air kerana margin simpanan air di kawasan itu hanya sekitar tiga hingga lima peratus dan tidak cukup menampung kegunaan pada waktu kecemasan.

“Saya percaya cerita berbeza akan dialami penduduk Lembah Klang sekiranya LRA Langat 2 dapat beroperasi sepenuhnya ketika ini kerana operasi loji sokongan itu pastinya mengurangkan impak gangguan kepada penduduk daripada 60 peratus kepada 30 peratus.

“Ketika ini, operasi LRA Langat 2 hanya beroperasi 80 peratus apabila pemasangan paip penyambungan bekalan air ke kawasan penting akan siap sepenuhnya pada tahun 2021 hingga 2022.

“Justeru, kerajaan perlu menyiapkannya dengan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan sebagai penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di Lembah Klang.

“LRA Langat 2 sememangnya sudah hampir siap tetapi sistem paip untuk menyalurkan air bersih belum disediakan menyebabkan ia ditunda ke tahun 2021 dan 2022,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, kelewatan itu juga menyebabkan pengguna di Lembah Klang lewat memperoleh bekalan air semula jika berlaku kebocoran paip atau pencemaran di sungai air terawat.

Artikel Berkaitan:

“Ketika ini, LRA Sungai Selangor adalah antara loji terbesar yang menyalurkan 60 peratus air kepada penduduk sekitar Selangor dan apabila sungainya terjejas, banyak kawasan akan terlibat dengan gangguan bekalan air.

Jelasnya, Langat 2 perlu beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat disebabkan margin simpanan air perlu ditingkatkan kepada 15 peratus sekurang-kurangnya bagi menampung air untuk penduduk pada waktu kecemasan.

Kata beliau, margin simpanan yang banyak membolehkan air disalurkan dengan segera kepada pengguna dan proses pemulihan akan berjalan dengan segera.

Peta menunjukkan lokasi Loji Rawatan Air Langat 2 yang mendapat saluran air mentah dari Pahang.
Peta menunjukkan lokasi Loji Rawatan Air Langat 2 yang mendapat saluran air mentah dari Pahang.

Bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, Piapakaran menggesa kerajaan negeri Selangor dan Pusat memberi fokus kepada usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada paras maksimum.Menurutnya, kadar NRW di Lembah Klang sebanyak 30 peratus adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar NRW di Tokyo, Jepun.

“Jika kita dapat kurangkan lebih banyak kadar NRW, pendapatan kerajaan akan meningkat kerana bekalan air yang tidak ‘hilang’ itu bertukar menjadi duit.

“Dari situ, kerajaan akan mempunyai peruntukan kewangan yang diperlukan bagi menambah baik sistem paip,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan fasa pertama LRA Langat 2 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2022 bakal memberi manfaat air bersih dan terawat kepada kira-kira 1.87 juta pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Abdul Hadi Ali berkata, kemajuan keseluruhan projek LAR Langat 2 sudah 80.33 peratus siap setakat 31 Disember 2019.

Katanya, PAAB bertanggungjawab membangunkan LRA Langat 2 yang merangkumi 23 pakej membabitkan kawasan termasuk Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling Jaya, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang serta Keramat AU3.

“Projek LRA Langat 2 ini adalah projek pembangunan bekalan air terbesar di Asia Tenggara yang mula dibina pada Mac 2014 dan berupaya membekalkan keperluan 1,130 juta liter air sehari (MLD) kepada penduduk di Lembah Klang.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju membina LRA Langat 2 dengan kos RM4 bilion bagi menampung keperluan dan permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang berbanding peruntukan RM3.7 bilion sebelum ini,” katanya.