Air oh air...

Penduduk yang terjejas menunggu giliran mengambil air yang diagihkan Air Selangor. Gambar kecil: Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Penduduk yang terjejas menunggu giliran mengambil air yang diagihkan Air Selangor. Gambar kecil: Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman
A
A
A

Jemu dan bosan mendengar satu demi satu isu masalah bekalan air berlaku. Terkini, seramai lima juta pengguna di 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan penutupan sementara loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang berikutan pencemaran air mentah di Sungai Gong.

LRA hanya boleh beroperasi semula jika tahap pencemaran berada pada tahap sifar ton tiga kali berturut-turut.

Malangnya LRA tidak boleh merawat bahan kimia pencemar kerana kosnya tinggi, selain boleh menyebabkan pengguna dalam keadaan berisiko dari segi kesihatan terutama kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit tertentu. Justeru, pilihan terbaik adalah dengan menutup sementara operasi LRA tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Zaini Ujang, hujan yang turun diharap dapat membawa pelepasan sisa kimia tersebut ke hilir sungai pada kadar yang lebih cepat seterusnya memulihkan bekalan air yang terjejas.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, usaha menghilangkan kesan pencemaran sumber air giat dilaksanakan tanpa henti bagi memastikan air yang bersih dan selamat dapat dibekalkan pada kadar segera.

Sementara itu, pengguna yang terjejas dengan penutupan LRA terbabit telah diagihkan dengan 78 lori tangki, 22 lori tangki jumbo, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat serta lapan pili air awam selain 23,000 botol air setiap satu yang mengandungi 5 liter air minuman.

Syarikat dan industri yang mengendalikan bisnes jutaan ringgit sehari turut terjejas. Operasi perniagaan makanan di sekitar Lembah Klang turut tergendala susulan pemilik premis perniagaan terpaksa mengambil bekalan air di kawasan yang tidak terjejas selain mengangkut berulang kali daripada lori tangki.

Ekoran pencemaran yang berlaku, sebuah kilang disita selama dua minggu dan dikenakan kompaun serta-merta selepas dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam sungai tersebut yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Artikel Berkaitan:

Tahun lepas kilang sama telah dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 akibat kesalahan yang sama.

Persoalannya mengapa kilang sama mengulangi tindakan tidak beretika ini tanpa rasa bersalah? Adakah kerana kelemahan dari aspek penguatkuasaan, pemantauan atau tindakan perundangan yang seolah-olah ‘lemau’ kerana premis yang sama hanya dikenakan denda tanpa didakwa di mahkamah?

Menurut Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail, kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan pencemaran sungai dan menjejaskan bekalan air kepada jutaan pengguna.

Peraturan ketat seperti pemantauan buangan sisa industri dan sampah haram atau tidak mengikut peraturan mesti dilaksanakan. Selain itu, peraturan zon penampan juga harus diperkenalkan bagi semua sungai dari hulu ke hilir.

PBT juga harus melihat pelan pembangunan di kawasan masing-masing sebelum meluluskan sebarang projek atau kegiatan bagi mengelakkan sumber air tercemar hingga menjejaskan pengguna.

Pada masa sama, pihak berkuasa juga mesti memeriksa status kilang di seluruh negara dengan menutup premis haram dan mengenal pasti sungai yang kritikal dari segi pencemaran.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran mencadangkan JAS mewujudkan satu sistem komprehensif, antaranya menyenaraikan pembeli bahan kimia bagi memudahkan rujukan apabila berlaku pencemaran sungai. Malangnya, sehingga kini sistem itu belum diwujudkan.

Cadangan kerajaan Selangor untuk menaikkan jumlah kompaun daripada RM500,000 kepada RM1 juta juga amat dialu-alukan.

Namun, jumlah kompaun yang tinggi jika tidak diikuti dengan kesedaran dan etika yang tinggi dalam kalangan premis beroperasi serta masyarakat pastinya tidak akan berkesan.

Satu langkah konkrit diperlukan untuk meredakan isu ini!

Pengguna sudah bosan dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa setiap kali berlakunya pencemaran sungai yang menjejaskan LRA.

Apa yang perlu adalah tindakan tegas dan proaktif dari aspek penguatkuasaan, pemantauan dan perundangan. Janganlah sekadar berjanji melakukan pelbagai tindakan, namun sunyi sepi selepas LRA kembali beroperasi.

Pengguna sudah bosan dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

* Dr Haliza Abdul Rahman ialah Pakar Kajian Sumber Air dari Universiti Putra Malaysia