Penghinaan terbaru Trump ke atas ICC

Pentadbiran Trump menuduh ICC di The Hague, Belanda sebagai institusi yang telah rosak dan menggelarnya sebagai mahkamah kanggaru. - Agensi
Pentadbiran Trump menuduh ICC di The Hague, Belanda sebagai institusi yang telah rosak dan menggelarnya sebagai mahkamah kanggaru. - Agensi
A
A
A

Tindakan terbaru pentadbiran Presiden Donald Trump ke atas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court, ICC) di The Hague, Belanda, membuktikan sekali lagi keangkuhan Amerika Syarikat (AS) terhadap badan kehakiman jenayah dunia itu.

Portal berita Perbadanan Penyiaran British (BBC) pada 2 September lalu melaporkan bahawa Washington telah mengenakan administrative sanctions (sekatan pentadbiran) ke atas dua warga kerja ICC, iaitu Ketua Pendakwa Fatou Bensuda (bekas Menteri Keadilan Gambia) dan Ketua Bahagian Kuasa, Kelengkapan dan Kerjasama Mahkamah, Phakiso Mochochoko.

Kedua-dua warga kerja ICC itu sebelum ini telah menyiasat dakwaan ada dalam kalangan tentera AS telah melakukan jenayah perang di Afghanistan.

Tidak senang dengan siasatan mereka itu, Jabatan Perbendaharaan AS telah memasukkan nama mereka ke dalam senarai Specially Designated Nationals (SDN), yang mengakibatkan segala aset (harta benda) di AS dibekukan.

Tindakan luar biasa itu diumumkan oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam satu sidang akhbar pada 2 September 2020. Ia dilihat sebagai susulan kepada perintah eksekutif Presiden Trump terhadap mereka kira-kira tiga bulan sebelumnya iaitu pada 11 Jun lalu.

Pempeo menyifatkan ICC sebagai sebuah institusi yang telah rosak dan korup (thoroughly broken and corrupted institution) serta sebagai sebuah mahkamah kanggaru (kangaroo court).

Dalam satu kenyataan menyelar tindakan pentadbiran Trump itu, ICC menyatakan sekatan itu belum pernah terjadi sebelum ini dan ‘merupakan penghinaan serius terhadap mahkamah, keadilan, sistem perundangan jenayah antarabangsa, Statut Rome dan kedaulatan undang-undang‘.

ICC menegaskan, ia akan berdiri teguh bersama kakitangannya dalam misinya untuk memerangi kekebalan terhadap jenayah paling serius di dunia.

Artikel Berkaitan:

Pemerhati melihat sekatan Washington terbaru itu sebagai tindak balasnya terhadap warga kerja ICC kerana memulakan siasatan mereka pada Mac 2020 lalu ke atas tentera AS dan petugas Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang disyaki melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Afghanistan.

Satu laporan yang dikeluarkan oleh ICC pada tahun 2016 menyatakan ada asas kukuh untuk mempercayai bahawa tentera AS telah melakukan penyeksaan (torture) kepada mangsa di pusat tahanan rahsia yang dikendalikan oleh CIA.

Mengutuk tindakan Washington itu, jurucakap Human Rights Watch (HRW) menyatakan tindakan pentadbiran Trump mengenakan sekatan (sanctions) mungkin sesuai apabila memerangi pengganas dan pengedar dadah, tetapi adalah salah jika ditujukan kepada pendakwa yang mencari keadilan (prosecutors seeking justice).

Seorang peguam kanan HRW, Balkees Jarrah berkata, sekatan yang dilakukan oleh Washington terhadap warga kerja ICC itu menandakan satu keaiban baru yang keji (marks a shameful new low) menjejaskan reputasi negara itu berhubung komitmennya memberi keadilan kepada mangsa jenayah.

Asas kewujudan

Media antarabangsa menyatakan bahawa Presiden Trump kini berdepan dengan pilihan raya AS tidak lama lagi dan untuk memastikan beliau akan dipilih semula kali kedua, beliau perlu lakukan apa sahaja untuk menang.

AS tidak pernah menyertai Statut Rome yang mewujudkan ICC kerana ia tidak mahu mahkamah jenayah antarabangsa itu ada bidang kuasa membicarakan mana-mana rakyatnya (dalam tentera atau agensi perisikian negara) dan menghukum mereka.

Statut Rome yang diwujudkan pada 1998 telah disertai oleh 123 negara dan menjadi asas kewujudan ICC empat tahun kemudian (pada tahun 2002). ICC ada kuasa penuh menyiasat dan membicarakan sesiapa sahaja yang telah melakukan genosid, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Afghanistan adalah antara negara yang telah menyertai Statut Rome dan oleh itu ia boleh menyiasat kes jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan pelanggaran hak asasi manusia serta mengheret sesiapa sahaja yang disyaki melakukan jenayah tersebut ke ICC.

Antara negara yang tidak atau belum menyertai Statut Rome termasuklah China, Rusia, Israel dan Syria. Pada tahun 2002, Kongres AS meluluskan satu undang-undang bernama Hague Invasion Act yang memberi kuasa kepada Presiden Amerika menggunakan kuasa ketenteraan untuk membebaskan mana-mana warga negara itu yang ditahan oleh ICC (walaupun langkah itu bermakna AS menyerang wilayah Belanda).

Pendek kata, sikap AS terhadap ICC boleh disimpulkan dalam ayat penuh keangkuhan ini, ‘Amerika tidak iktiraf kamu. Jangan cuba bertindak ke atas warga negara Amerika’.

Dasar Trump adalah memberi keutamaan kepada warga negaranya sendiri pada setiap masa (America First) dan menentang multilateral institutions.

Mengikut satu laporan BBC, Presiden Trump pernah memberi pengampunan kepada tentera Amerika yang telah didakwa di mahkamah negara itu kerana melakukan jenayah perang di Afghanistan.

Meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan Washington terbaru itu, Menteri Luar Belanda, Stef Blok berkata, Belanda serta negara-negara lain dalam EU akan terus memberi sokongan kepada ICC. Perancis juga mengutuk tindakan Washington itu, menyifatkannya sebagai satu serangan serius ke atas badan dunia itu.

Menteri Luar negara itu, Jean-Yves Le Drian berkata pada 3 September lalu, langkah drastik yang diambil oleh Washington itu merupakan satu serangan serius ke atas mahkamah dan ke atas negara-negara lain yang telah menandatangani Statut Rome.

Ia juga merupakan satu cabaran kepada multilateralisme dan kebebasan badan kehakiman dunia itu.

Portal berita www.euronews.com menyatakan serangan Presiden Trump ke atas ICC menunjukkan penghinaannya terhadap kedaulatan undang-undang sejagat (his contempt for the global rule of law).

AS bukan lagi sebuah negara contoh yang mendaulatkan rule of law dan memelihara hak asasi manusia.

* Datuk Salleh Buang ialah mantan Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kini Timbalan Pengerusi Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW)