MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin skuad bola sepak Perak mampu beraksi cemerlang pada saingan Liga Malaysia (Liga-M), 2014.

Mengulas lanjut Zambry berkata, pasukan yang dibina hasil daripada kaedah pencarian pemain di setiap daerah berjaya mencungkil ramai pemain muda berbakat dari sekitar negeri bagi mewakili skuad Kejor Yob Skor itu.

Malah menurutnya, pelantikan ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim yang pernah membimbing skuad Piala Presiden muncul juara pada musim 2012 dan naib juara pada musim 2013 lalu dilihat sebagai satu tindakan tepat dalam usaha mengembalikan kecemerlangan pasukan Kejor Yob Skor itu.

“Saya hanya beri restu kepada pasukan Perak, saya harapkan agar pasukan Perak cemerlang musim ini. Kita anggap pasukan ini sebagai pasukan ‘home grown’ iaitu pasukan yang kita bina sendiri daripada anak-anak Perak.

“Saya sendiri juga pernah turun bermain (berlatih) bersama mereka baru-baru ini untuk melihat ketangkasan mereka dan berdasarkan aksi dipersembahkan kita yakin mereka (pemain), mampu beraksi cemerlang
dan mengembalikan kecemerlangan pasukan,” katanya.

Zambry berkata demikian sempena Majlis Memperkenalkan Pasukan serta Pelancaran Jersi Pasukan Perak Musim 2014 di Stadium Perak, kelmarin.

Hadir sama, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Setiausaha Kehormat Pafa, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Pada majlis berkenaan, Zambry turut mengumumkan nama baru skuad Seladang, The Bos Gaurus serta tagline baru, Kejor Yob Skor selaras dengan proses penjenamaan skuad bola sepak Perak.

Sementara itu Zambry mengharapkan skuad bola sepak Perak mampu mempraktikkan tiga kriteria penting demi menjamin kejayaan pasukan pada musim saingan Liga-M 2014.

Menurutnya, kriteria iaitu semangat berpasukan, disiplin serta stamina yang baik perlu dimiliki setiap pemain melibatkan semua pasukan dari skuad Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia serta skuad futsal negeri.

“Tanpa semua kriteria berkenaan, sesebuah pasukan bola sepak itu tidak akan mampu mencatat sebarang kejayaan,” katanya.