PADA waktu kecil, penulis sempat bertemu dengan beberapa orang wanita berpangkat nenek (di Johor, nenek adalah panggilan ibu atau bapa kepada datuk lelaki atau perempuan) yang berusia hampir mencecah 100 tahun di mana suami-suami mereka telah meninggal dunia berpuluh tahun lebih awal.

Seingat penulis, ramai lelaki di kampung penulis meninggal dunia dan meninggalkan balu. Kebanyakan mereka meninggal ketika berusia jauh lebih tua berbanding suami-suami mereka. Dari semasa ke semasa nampaknya ia berlaku di mana-mana, tidak kira di kampung atau di bandar iaitu ramai wanita berusia lebih panjang.

Generalisasi

Hasil pemerhatian di atas tidak boleh digeneralisasikan untuk mengatakan bahawa wanita di negara kita hidup lebih lama berbanding dengan lelaki kerana ia sekadar pemerhatian peribadi penulis. Anda pula mungkin mendapati perkara yang serupa atau hampir serupa atau mungkin sebaliknya iaitu ramai suami yang hidup lebih lama berbanding isteri.

Mari kita lihat dari sudut kajian. Sebuah kajian yang dijalankan oleh sepasukan saintis antarabangsa berjudul The Emergence of Longevous Populations yang terbit dalam jurnal The Proceedings of the National Academy of Sciences (2016) mendapati manusia berjaya memanjangkan jangka hayatnya sepanjang 200 tahun yang lalu. Namun pada masa sama, jarak usia antara lelaki dan wanita masih kekal hampir serupa.

Berita baik fenomena ini ialah jangka hayat anda ialah beberapa dekad lebih panjang berbanding dengan manusia yang hidup beberapa kurun sebelum kita. Berita buruknya pula jarak antara jangka hayat lelaki dan jangka hayat wanita masih hampir serupa.

Lima tahun

Walau bagaimanapun, mereka mendapati bahawa wanita kekal mendahului lelaki daripada segi jangka hayat iaitu lima tahun - jarak umur yang serupa yang berlaku pada awal 1800-an. Para saintis penyelidik kajian tersebut tidak mengetahui mengapa ia berlaku sedemikian rupa.

Profesor Biologi Universiti Duke, Susan Alberts berkata dalam sebuah siaran akhbar bahawa ia menimbulkan tanda tanya. Jika kita berupaya menjadikan usia lebih panjang, mengapa kita tidak boleh menguncupkan jarak jangka hayat lelaki dan wanita.

Saintis-saintis penyelidik Amerika Syarikat, Jerman, Denmark, Kanada dan Kenya telah mengumpulkan rekod-rekod kelahiran dan kematian lebih daripada satu juta orang dari tahun 1700-an hingga sekarang. Kajian tersebut meliputi manusia yang hidup di negara-negara industri, manusia yang lahir sebelum Zaman Industri dan pemburu-pemungut moden (modern hunter-gatherers).

Perubatan moden

Sebagai contoh, jangka hayat manusia di Sweden telah bertambah daripada pertengahan 30-an pada awal 1800-an kepada lebih daripada 80 tahun pada hari ini. Angka tersebut lebih dua kali ganda sepanjang tempoh 200 tahun. Para saintis penyelidik kajian tersebut percaya lonjakan jangka hayat yang tinggi pada hari ini adalah disebabkan oleh kehadiran perubatan moden dan kemudahan kesihatan awam.

Lantaran itu kata mereka, kematian bayi ketika dilahirkan (penulis: Bukankah ia lebih kepada lebih ramai manusia dilahirkan hidup dan tiada kaitan dengan pemanjangan jangka hayat?) dan penyakit-penyakit kanak-kanak telah berkurangan secara ketara.

Pada masa yang sama di seluruh dunia, purata jangka hayat manusia ialah lebih kurang 71 tahun. Lelaki hidup pada purata usia 68 tahun manakala wanita pula 73 tahun. Di Amerika Syarikat misalnya, purata jangka hayat ialah 79 tahun di mana lelaki hidup hingga usia 76 tahun manakala wanita hidup pada purata usia 81 tahun.

Profesor Alberts dan beberapa saintis lain berkata, mungkin komponen genetik memainkan peranan terhadap jarak jangka hayat lelaki dan wanita. Mereka mengandaikan bahawa ia berlaku kerana kromosom X. Wanita memiliki dua kromosom X manakala lelaki hanya mempunyai satu. Kehadiran hanya satu kromosom X dipercayai tidak cukup untuk mengimbangi sebarang variasi gen pada kromosom tunggal tersebut.

Berdasarkan artikel berjudul Why Men Often Die Earlier than Women (19 Februari 2016, Harvard Health Publications) sebagai panduan, faktor-faktor lain mengapa jangka hayat wanita lebih panjang termasuk:

    •    Kurang mengambil risiko besar sepanjang hidup

    •    Kurang melakukan kerja berbahaya

    •    Kurang mati akibat penyakit jantung pada usia muda

    •    Saiz tubuh kecil

    •    Kurang kerap membunuh diri

    •    Hubungan sosial lebih baik berbanding kaum lelaki

    •    Lebih kerap berjumpa doktor (?)

Epigenetik

Pada pandangan penulis, lelaki atau wanita yang menitikberatkan keseimbangan elemen-elemen fizikal, psiko-emosi dan kerohanian dengan mengamalkan cara atau gaya hidup sihat, insya-ALLAH akan sentiasa mengalami tahap kesihatan yang baik.

Ia adalah intervensi epigenetik yang membantu organ sistem tubuh sentiasa berfungsi dengan lancar - telomere kekal panjang. Epigenetik ialah pengaruh luaran atau bukan genetik yang mengubah ekspresi gen. Telomere ialah segmen DNA terletak di hujung kromosom.

Telomere pendek dikaitkan dengan kerosakan degeneratif yang memiliki pertalian dengan penuaan.

Bukankah apabila anda sentiasa sihat, bebas daripada sebarang penyakit termasuk sindrom metabolik atau penyakit-penyakit degeneratif (antara lain kanser, penyakit jantung, diabetes, obesiti, dan Alzheimer), anda tidak perlu berjumpa doktor kecuali untuk menjalani pemeriksaan berkala misalnya setiap enam bulan sekali?

*Bahrain Samah, MH, MD (AM) Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAHUKAH anda, 6% kalangan dewasa mengalami ketagihan membeli-belah sepanjang kehidupan mereka? Angka tersebut berdasarkan kajian. Kajian juga menunjukkan 80-95% ketagihan membeli-belah berlaku kepada golongan wanita.
  • PENGGUNAAN karavan dan motorhome di Malaysia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang baharu. Mungkin juga ada yang tidak pernah melihatnya ‘beraksi’ di jalan raya namun itu tidak menjadi penghalang bagi Nadiah Abas dan suaminya, Mohd Arne Haffnee Abas menceburi industri permotoran.
  • DOGMATISME ialah kata terbitan yang berasal daripada istilah dogma. Dogma merujuk kepada ajaran atau kepercayaan yang harus diterima begitu sahaja tanpa soal jawab atau bantahan. Lihat definisi asal dalam kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • MASALAH berat badan berlebihan merupakan satu masalah yang semakin serius dalam masyarakat kita di Malaysia hari ini. Ramai yang mengambil pendekatan mengurangkan makan dan bersenam untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa kita sedari, ada yang membuat kesilapan dalam usaha menurunkan berat badan.
  • SITI Arifah Mohd Amin atau lebih dikenali dengan nama Joy Revfa antara usahawan muda yang menempa nama di pentas bisnes. Sekujur wajah yang jelita milik wanita yang mesra dengan sapaan Joy ini sudah cukup meyakinkan perjalanan bisnes yang berpaksikan produk kecantikan dan kesihatan yang diusahakannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.