KERTAS dinding merupakan hiasan dinding yang hadir dalam pelbagai jenis, warna dan motif.

Ia mampu memberi impak terhadap sesebuah ruang untuk tampil lebih cantik dan menarik.

Kertas dinding juga mempunyai daya tahan yang lama sehingga 10 tahun berbanding dengan cat dinding.

Jika anda ingin menggunakan kertas dinding di rumah, anda perlu mengetahui tujuh perkara penting ini.

1. Bersihkan permukaan dinding

Bagi pemasangan kertas dinding, penting untuk anda memastikan permukaan dinding bersih daripada sebarang kotoran. Hiasan seperti jam atau bingkai gambar yang dipasang pada dinding juga harus ditanggalkan.

2. Permukaan dinding tidak rata

Permukaan dinding haruslah rata untuk pemasangan kertas dinding. Jika terdapat sebarang lubang atau permukaan yang bergelombang, baiki dahulu ruang tersebut. Seterusnya lakukan proses mengupas dan menampal dinding sebelum memasang kertas dinding.

3. Pemilihan jenis kertas dinding

Pemilihan kertas dinding haruslah bersesuaian. Bagi pemasangan kertas dinding yang ingin dijadikan feature wall, anda haruslah memilih gabungan corak kertas dinding yang bersesuaian. Kertas dinding yang ingin dijadikan feature wall haruslah lebih kontra berbanding kertas dinding yang lain.

4. Motif kertas dinding pengaruhi keluasan ruang

Aplikasi kertas dinding bermotifkan garisan menegak dan melintang mampu mempengaruhi saiz ruang kediaman anda. Kertas dinding bercorak garisan menegak akan membuatkan dinding kediaman anda kelihatan lebih tinggi, manakala corak kertas dinding yang melintang pula akan memberi impak luas pada sesebuah ruang.

5. Padankan dengan perabot

Untuk menaikkan ambien pada ruang kediaman, anda harus memilih warna kertas dinding yang serasi dengan perabot serta kemasan lembut yang terdapat pada kediaman anda.

6. Sediakan peralatan yang lengkap

Sebelum memulakan pemasangan kertas dinding, anda perlu menyediakan peralatan yang lengkap seperti alas plastik, tangga, pemotong, pensel, pita ukur, lem kertas dinding, span dan plate untuk meratakan dinding.

7. Penataan cahaya

Kertas dinding akan kelihatan lebih menarik apabila dibiaskan dengan pantulan cahaya lampu. Oleh itu anda perlu mengenakan pemasangan lampu siling dan dinding yang bersesuaian dengan kertas dinding anda.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :