PEMILIHAN warna tudung yang sesuai dengan kulit wajah mampu mempengaruhi penampilan diri seseorang wanita Muslimah. Selain bentuk muka, faktor tona kulit juga memainkan peranan dalam menghasilkan keserasian gaya dengan warna tudung yang dipilih. Ikuti tip memilih tudung mengikut tona kulit agar anda tampil lebih berseri dan menyerlah.

1. Kulit putih, cerah dan kuning langsat

Kulit putih dan cerah lebih nampak berseri jika memakai tudung berwarna gelap atau terang yang kontra seperti ungu, merah, biru laut dan hitam. Walaupun warna pastel dan neutral sangat popular tetapi ia boleh membuatkan wajah anda nampak pucat dan tidak bermaya. Jika mahu mengenakan tudung pastel atau neutral, campurkan dengan warna-warna garang agar penggayaan anda lebih menarik.

2. Kulit sawo matang

Kulit sawo matang atau coklat merupakan warna kulit yang biasa bagi kebanyakan wanita di Malaysia. Warna-warna tudung yang menyerlahkan tona pemilik kulit sawo matang ialah rona pastel seperti kuning beige, baby blue, pic, salmon dan ungu. Warna-warna yang perlu dihindari adalah merah darah, hijau tua dan coklat tua kerana ia membuatkan muka bertambah kusam dan gelap.

3. Kulit gelap dan hitam manis

Anda perlu memakai warna-warna yang menaikkan seri wajah seperti merah hati, hijau serindit, ungu lembut atau jingga lembut. Warna-warna ini bersifat kontra dengan tona kulit sekali gus membuatkan kulit kelihatan lebih cerah. Elakkan memakai warna coklat tua, hitam, hijau tua, biru gelap atau merah darah kerana ia akan menyebabkan kulit menjadi semakin gelap dan lesu.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.