STRES atau tekanan adalah keadaan di mana anda mengalami rasa yang tanggungjawab kerja, rumahtangga, sekolah dan hubungan dengan pasangan yang terbeban di bahu anda melebihi kemampuan anda untuk melaksanakannya.

Dalam keadaan terkawal, stres adalah sesuatu yang baik dan positif untuk meransangkan motivasi agar berkerja lebih kuat bagi melaksanakan tanggungjawab.

Sebagai contoh, pelajar akan belajar sungguhsungguh apabila merasakan stres ketika menghampiri peperiksaan atau apabila anda menghampiri tarikh akhir sesuatu tugasan menjadikan anda lebih bermotivasi untuk melengkapkan tugasan kerja yang diberikan.

Walaubagaimanapun jika stres atau tekanan ini berterusan setiap hari dan melampau pula maka ia akan menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Stres boleh menyebabkan masalah penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular (penyakit jantung koronari, hipertensi, strok), diabetes, kanser, penyakit neuroendokrin, masalah mental seperti depresi, masalah emosi seperti cepat marah dan irritabiliti dan gangguan sistem saraf pusat seperti rasa kebas tangan dan sakit-sakit otot yang tidak spesifik.

Penyakit lain yang boleh berlaku jika stres tidak dikawal dan dirawat dengan baik ia akan menyebabkan masalah kerisauan melampau (anxiety), susah untuk tidur (insomnia), otot, tekanan darah tinggi dan sistem imuniti rendah.

Kajian menunjukkan stres menjadi punca penyakit utama seperti penyakit jantung koronari, depresi (kemurungan) dan obesiti.

Disini saya berikan lima tip sihat untuk mengawal stres dalam jangka masa pendek dan panjang berdasarkan kajian psikologi terkini.

MAKAN SECARA SIHAT

Kajian menunjukkan pemakanan sihat yang kaya dengan sayur-sayuran, buahbuahan boleh membantu mengawal stres kerana kandungan vitamin, mineral, anti oksidan dan bahan anti keradangan boleh membantu mengurangkan kesan stres kepada kesihatan.

Di samping itu mengambil minyak sihat seperti minyak zaitun, minyak ikan, minyak kelapa, minyak kelapa sawit, minyak ikan dan sebagainya juga membantu kita mengawal kesan negatif stres kepada kesihatan.

Pengambilan suplemen seperti vitamin, mineral, anti oksidan, omega 3 dan sebagainya juga membantu mengurangkan kesan stres kepada kesihatan. Kajian juga menunjukkan mengambil kekacang juga membantu mengawal kesan stres kepad tubuh kita.

SENYUM DAN REHAT SEBENTAR

Otak manusia adalah berhubung dengan emosi dan juga otot yang mengawal pergerakan muka. Apabila seseorang stres, kebiasaannya mereka akan bermuka sedih, masam dan tidak ceria.

Oleh itu apabila seseorang senyum ataupun ketawa maka ia boleh membantu mengurangkan kadar stres dengan spontan dan akan membuatkan anda berasa lega.

Rehat dan lupakan sebentar punca stres, walaupun sukar hakikatnya.

Berikan diri anda peluang untuk keluar seketika daripada keadaan yang menyebabkan stres itu seperti beban kerja, anak yang menangis, masalah hutang atau kewangan yang mendesak.

Keluar sebentar dari masalah tersebut dengan mengelak memikirkannya cukup dengan sekadar 20 minit. Rehatlah sebentar dengan melelapkan mata, berzikir atau bersolat, baring dan rehat, menonton TV, menonton sesuatu yang lucu di Youtube, bersiar-siar, melihat pemandangan indah dan sebagainya.

BERSENAM

Kajian menunjukkan senaman akan membantu mengurangkan kadar stres dan akan mengurangkan kesan negatif stres kepada kesihatan. Senaman ringan dengan berjalan, berlari, berenang atau menari di waktu anda sedang stres didapati boleh membantu mengawal kadar stres.

Kajian juga menunjukkan dengan bersenam selama 20 minit sahaja kadar stres akan turun selama beberapa jam. Jika anda kerap bersenam maka kadar stres akan terkawal dengan lebih lama.

DAPATKAN SOKONGAN SOSIAL

Dapatkan teman untuk bercerita sama ada berbual secara berdepan atau melalui media sosial atau e-mel. Kongsi perasaan anda kepada kawan yang boleh dipercayai yang akan menyimpan rahsia anda. Ia boleh membantu mengurangkan stres jika mempunyai sahabat setia yang kita boleh berkongsi cerita dan perasaan.

Berkongsi cerita dan perasaan dengan pasangan kita adalah terbaik jika faktor yang menyebabkan stres adalah di tempat kerja atau masalah di luar rumah.

Jika faktor yang menyebabkan stres itu adalah pasangan kita maka perlu diluahkan kepada sahabat yang boleh dipercayai yang sama jantina untuk tidak memburukkan lagi keadaan.

Jangan bercerita masalah rumah tangga dengan orang asing atau di media sosial atau dengan terlalu ramai orang kerana ia akan mengundang masalah dengan pasangan anda.

DOA, ZIKIR DAN MEDITASI

Berdoa, berzikir dan mengadu kepada ALLAH adalah kaedah terbaik kerana hanya dialah yang mampu mengubah keadaan dan memberikan kekuatan kepada kita untuk menghadapi cabaran dalam hidup yang mengundang kepada stres.

Bagi sesetengah orang, boleh mencuba kaedah meditasi dengan memfokuskan kepada pernafasan untuk memecah kitaran kejam stres. Apabila kita fokus kepada pernafasan dan

mengawal pernafasan dengan teratur ia akan mengubah status pemikiran kita dan melepaskan perasaan yang tertekan. Bagi kita umat Islam, bermeditasi dengan cara berzikir boleh diamalkan.

Membaca al- Quran dengan memahami maknanya akan memberikan satu bentuk jawapan kepada persoalan hidup kita. Kajian menunjukkan seseorang yang bermeditasi walaupun sekejap akan dapat membantu mengurangkan stres seperti senaman.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Perlawanan amal SINAR4ROHINGYA antara Super Lawak FC menentang Pilihan Sinar Harian/Smart Selangor, malam kelmarin, berjaya meraih dana kira-kira lebih RM10,000 untuk disalurkan kepada pelarian etnik Rohingya.
  • 2017 dianggap sebagai tahun menakjubkan bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.
  • MUNGKIN ketika ini anda sedang berkira-kira untuk menurunkan berat badan. Walau bagaimanapun yang menjadi masalah ialah tentang perbelanjaan yang perlu dikeluarkan apatahlagi anda sedang berjimat-cermat.
  • COX'S BAZAR - BANGLADESH - Jika wanita di Malaysia waima seluruh dunia, mempunyai tuala wanita untuk digunakan setiap kali datang bulan, berbeza dengan pelarian wanita Rohingya di Kem Balukhali, di sini, yang hidup berlumuran darah kotor sekurang-kurangnya empat ke lima hari sebulan.
  • SOLEKAN mata boleh tampak cantik dengan garisan mata yang kemas dan tepat. Ia merupakan elemen penting untuk menaikkan seri wajah selain menjadi pelengkap kepada solekan pada wajah.