FIGURA yang menyandang nama Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Fazura bukanlah nama kerdil dalam industri hiburan tempatan. Tidak sekadar memiliki kecantikan yang bakal mencairkan hati sesiapa yang memandang, aktres ini juga ‘didatangkan’ lengkap dengan bakat dalam dunia lakonan, pengacaraan mahupun nyanyian.

Ya! Tiada siapa mampu menidakkan kejelitaan dan bakat semula jadi yang dimiliki oleh Fazura. Kelebihan inilah yang membuatkan empunya diri mampu bertahan dan berada dalam kelasnya yang tersendiri. Berkat kesungguhan, kerja keras serta semangat dalam diri pelakon yang berjaya meraih anugerah Pelakon Harapan Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM17) menerusi filem sulungnya Bicara Hati ketika menginjak usia 21 tahun, Fazura terus mara menggapai kegemilangan.

Tidak dapat dinafikan, kemunculan Fazura sering mencuri perhatian. Sekian lama bergelumang di pentas seni, wanita ini bijak mengatur stail dan kerjayanya. Paling ketara daripada segi penampilan diri. Gaya yang dibawanya tidak pernah canggung dan sentiasa memberi impak tersendiri. Anugerah demi anugerah dan penghargaan yang telah dirangkulnya memahat kukuh nama Fazura di persada seni tanah air.

Selepas empat tahun tidak berlakon dalam mana-mana drama, Fazura kembali ke layar kaca dengan bergandingan bersama Fattah Amin menerusi drama 24 episod bertajuk Hero Seorang Cinderella arahan Michael Ang. Kali terakhir Fazura berlakon drama adalah pada tahun 2013 menerusi drama Kisah Cinta lakonannya bersama Shaheizy Sam.

Gandingan Serasi

“Tahun 2017 saya lebih aktif dalam dunia lakonan. Ia satu permulaan yang baik untuk perkembangan kerjaya saya. Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan pencapaian diri saya setakat ini. Hingga kini saya masih punya peminat yang sentiasa setia menyokong perjalanan kerjaya seni saya.

“Pengalaman shooting di Amsterdam memang seronok bersama team Hero Seorang Cinderella. Penggambaran yang mengambil masa selama lapan hari itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Saya seronok shooting di sana. Cuaca pun baik-baik sahaja, menjadikan shooting berjalan dengan sempurna,” ungkap Fazura memulakan bicaranya.

Bergandingan dengan Fattah Amin yang memegang watak sebagai Tengku Ian Uzzam dan Fazura sebagai Nura Medina di dalam drama Hero Seorang Cinderella, Fazura dan Fattah Amin dilihat cukup serasi. Banyak scene romantik dilakonkan di sana setelah Tengku Ian Uzzam berkahwin dengan Nura Medina.

“Tiada scene bersentuhan dan adegan di atas katil seperti kelazimannya yang selalu dipertontonkan apabila melibatkan watak suami isteri. Bercakap tentang keserasian antara saya dan Fattah Amin, kami masih boleh menunjukkan kemesraan hubungan suami isteri tanpa bersentuhan. Sebenarnya, inilah keistimewaan yang ada pada drama Hero Seorang Cinderella.

“Watak Nura Medina cukup ‘dekat’ dengan diri saya. Seperti Nura Medina, saya juga seorang yang tegas dan lembut hati. Jujur saya katakan bahawa saya suka dengan watak Nura Medina. Apabila Michael Ang memberikan tawaran untuk saya melakonkan watak Nura Medina, saya sangat gembira. Ini kerana watak Nura Medina bukan seperti watak klise Cinderella, selain ia diadaptasi daripada novel,” ujar Fazura.

Dalam drama Hero Seorang Cinderella, Fazura turut mengenakan hijab. Mungkinkah Fazura akan tergerak hati untuk memakai hijab? Tatkala diajukan soalan ini, Fazura hanya tersenyum sambil menyusun kata-kata.

“Apabila sudah tiba masanya, saya akan berhijab tetapi saya tidak mahulah mengheboh-hebohkan tindakan saya. Biarlah ia datang daripada hati saya yang tulus. Jika berhijab pun, saya berhijab bukan kerana orang lain tetapi atas kerelaan hati saya sendiri,” terang Fazura yang sudah hampir 13 tahun bertapak dalam industri hiburan tempatan.

Sekarang ini pun sudah ada hashtag Fattzura dan sudah ada peminat yang seolah-olah ingin ‘menjodohkan’ Fazura dengan Fattah. Ditanya tentang pendapat Fazura tentang isu itu, jelas Fazura kemesraan yang wujud antara dirinya dan Fattah Amin hanyalah untuk lakonan drama tersebut sahaja.

“Kemesraan yang dipamerkan bertujuan untuk menghidupkan serta menjiwai watak-watak yang kami lakonkan. Saya sendiri tidak tahu siapa jodoh saya dan saya hanya berserah kepada Allah. Soal jodoh saya terima dengan hati terbuka,” ungkap Fazura ringkas.

Lakonan dan nyanyian seiring

Tatkala ditanya tentang pendapatnya jika gandingan dirinya dan Fattah Amin mencetuskan fenomena seperti yang berlaku ketika Fattah Amin digandingkan dengan Neelofa, ini jawapan Fazura.

“Apa yang penting ialah lakonan saya memberikan kesan kepada penonton dan bukan kerana alasan-alasan lain. Hal glamor dan juga trending tidak penting bagi saya. Apa yang saya mahukan ialah lakonan kami meninggalkan impak kepada penonton kerana kami bekerja kuat untuk Hero Seorang Cinderella.

“Saya tidak mengejar glamor semata-mata kerana jika saya mahu mengejar glamor, saya boleh sahaja melakonkan lima atau enam drama untuk setahun. Yang saya tekankan ialah kualiti dan mutu lakonan saya.

“Keutamaan saya ialah untuk menjadi pelakon yang hebat. Jika kita terlalu mengejar glamor semata-mata untuk menaikkan nama, ia hanyalah sementara sahaja. Saya juga tidak mahu terlalu menonjolkan diri. Mereka yang tidak mengenali saya tentu akan ingat saya seorang yang urban. Namun drama Hero Seorang Cinderella memperlihatkan saya sebagai seorang gadis yang sederhana,” jelas pelakon Gol & Gincu ini.

Menyentuh tentang bidang nyanyian, walaupun mendapat kritikan, ia tidak mematahkan semangat aktres jelita ini untuk serius dalam dunia nyanyian. Tambah Fazura, setelah selesai penggambaran Hero Seorang Cinderella, fokusnya akan lebih terarah kepada dunia nyanyian. Dalam masa yang sama, Fazura juga akan ‘terbang’ ke Indonesia untuk berlakon dalam sebuah filem di sana.

“Buat masa kini saya sangat sibuk dengan shooting drama Hero Seorang Cinderella menyebabkan fokus kepada penghasilan album sedikit tertangguh. Jika tiada aral melintang, saya akan menyiapkan album tersebut selepas raya. Alhamdulillah lagu saya untuk tema drama Hero Seorang Cinderella berjudul Cinderella duet bersama Fattah Amin juga disukai peminat. Ternyata ia satu perkembangan yang baik

“Menyentuh tentang kritikan yang saya terima, daripada satu sudut ia merupakan satu kebaikan. Saya menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk saya berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Perancangan saya dalam dunia nyanyian ialah untuk mengembangkan karier saya dalam bidang ini secara berperingkat-peringkat. Paling utama, saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dan selebihnya saya hanya mampu bertawakal kepada Allah,” ujar Fazura yang bakal melancarkan dua lagi single solo terbaharu sedikit masa lagi.

Dunia bisnes

Berkisar tentang dunia bisnes, Fazura kini sibuk dengan koleksi pakaian hari raya. Terbaharu, Fazura turut mengadakan kolaborasi dengan Go Shop memandangkan sambutan yang begitu menggalakkan terutamanya untuk koleksi kurung Pahang yang diketengahkannya.

“Di House of Doll, kami menyediakan 10 jenis baju raya dalam pelbagai rekaan. Semua koleksi House of Doll dijual secara atas talian, selain ia juga boleh didapati di butik kami di Kota Damansara.

“Selalunya ramai pelanggan gemar membeli secara atas talian. Jadi sempena bulan Ramadan ini, House of Doll turut mengeluarkan koleksi tudung terbaharu kerana ramai yang minta kami keluarkan koleksi tudung,” jelas Fazura apabila ditanya tentang perkembangan bisnesnya.

Selain House of Doll, Fazura juga turut mengeluarkan tiga rangkaian haruman badan di bawah nama Mystical by Fazura. Semangat juang yang ada pada diri Fazura dalam dunia perniagaan telah melayakkannya untuk terpilih sebagai The 100 Most Influential Young Entrepreneurs 2016 by Entrepreneur Insight.

“Sebenarnya banyak perancangan telah diatur untuk bisnes yang saya usahakan namun biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan. Antara perancangan yang bakal dilaksanakan ialah mengeluarkan body mist dengan haruman yang mengambil inspirasi watak Nura Medina dalam drama Hero Seorang Cinderella.

“Sebelum ini, Mystical by Fazura tampil dengan tiga jenis haruman iaitu I Love Me (bauan Chamomile Honey), Berry Beautiful (Berry Mix) dan Spotlight (campuran variasi buah-buahan). Wangian ini berada di bawah label syarikat, Doll Domination, yang dilancarkan pada tahun 2015,” ujar Fazura yang bakal sibuk dengan KL Fashion Week tidak lama lagi.

Meniti usia 34 tahun, seperti gadis-gadis lain, Fazura juga tidak terlepas diajukan tentang persoalan jodoh. Tatkala ditanya tentang status dirinya, akui Fazura dia kini sedang mengenali hati budi seseorang.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya dalam fasa untuk ‘mendekatkan’ diri dengan si dia. Untuk serasi dengan seseorang kita perlu mengambil masa untuk proses menyesuaikan diri. Bukan soal harta dan pangkat yang menjadi keutamaan kerana ia belum tentu menjamin kebahagiaan,” akhiri Fazura menutup butir bicaranya.

Ciri-ciri calon suami idaman Fazura

1. Lelaki yang berpendirian teguh dan tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain.

2. Beriman dan boleh membimbing serta memimpin saya.

3. Penyayang, merendah diri dan boleh menyayangi saya tanpa syarat.

4. Seorang yang bijak dan sentiasa berfikiran positif.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENURUT Glassman, penulis buku The Snack Factor Diet mengatakan ketika berasa lapar, gula dalam darah akan rendah menyebabkan kita tidak mampu berfikir dengan baik. Ketika inilah kita akan berusaha mencari makanan atau snek.
  • SAPUAN gincu di bibir bukan sekadar olesan semata-mata. Sebenarnya olesan gincu bibir memberi impak kepada keseluruhan solekan pada wajah. Jangan sesekali memandang remeh dalam soal memilih gincu bibir yang sesuai dengan anda. Berikut lapan teknik mengoles gincu yang betul.
  • INDUSTRI makanan merupakan salah satu cabang bisnes yang sentiasa mempunyai prospek untuk dikembangkan selain mempunyai masa depan yang cerah. Makanan dan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Menyedari hakikat ini maka bisnes berasaskan makanan menjadi satu cabang bisnes yang tidak lapuk dek zaman.
  • STRES atau tekanan adalah keadaan di mana anda mengalami rasa yang tanggungjawab kerja, rumahtangga, sekolah dan hubungan dengan pasangan yang terbeban di bahu anda melebihi kemampuan anda untuk melaksanakannya.
  • PENULIS percaya anda biasa dengar ungkapan mimpi siang hari. Ia sebenarnya merupakan terjemahan langsung daripada istilah Bahasa Inggeris daydreaming. Semakan penulis menggunakan kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan beberapa istilah berpadanan sebagai maksud daydreaming termasuk berangan-angan, berkhayal dan mengelamun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.