PUTERI Intan Zarith Che Rasidi atau mesra disapa Puteri Zarith merupakan antara pelapis usahawan wanita yang semakin menonjolkan taringnya dalam dunia bisnes. Kejayaannya dalam menerajui bisnes membuka mata golongan masyarakat khususnya kaum wanita.

Sebagai pengasas kepada jenama produk kecantikan VS Beauty Expert, wanita jelita berusia 33 tahun ini bukan sahaja bijak dalam soal penampilan diri, malah menjadi idola wanita muda masa kini dalam arena perniagaan. Ketokohan yang ada dalam diri Puteri Zarith membuktikan bahawa sesungguhnya beliau sangat obsesi dengan dunia perniagaan.

Seindah nama, Puteri Zarith berjaya membawa perniagaannya hingga ke puncak jaya. Nama Puteri Zarith semakin meniti di bibir para pengikut di laman sosial apabila jenama produk kecantikannya, VS Beauty Expert melantik pelakon Hero Seorang Cinderella, Fattah Amin sebagai duta untuk produk keluarannya, OliCandy.

IDOLA BISNES

Menjadikan arwah ayahnya sebagai idola dan sumber inspirasi dalam dunia perniagaan, sejak zaman remaja lagi Puteri Zarith sudah menanam cita-cita memiliki empayar perniagaan sendiri. Puteri Zarith nekad berusaha untuk menggapai impiannya sekali gus serius dalam dunia perniagaan.

“Walaupun ayah dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun itu bukanlah alasan untuk beliau tidak mengubah nasib diri. Beliau sanggup belajar selok-belok bidang akaun untuk memajukan diri. Dahulu, arwah ayah bekerja di bahagian akaun. Ketika itu, kerjaya tersebut sudah dianggap hebat.

“Sikap ini jugalah yang arwah ayah terapkan kepada kami adik-beradik. Arwah percaya pendidikan adalah penting untuk mengubah kehidupan dan itulah yang arwah selalu pesan kepada kami. Selepas arwah meninggal dunia, sebagai anak sulung saya sepatutnya mengambil alih perniagaan keluarga. Oleh sebab saya tidak berminat, jadi bonda yang meneruskan kesinambungan tersebut.

“Selain arwah ayah, bonda juga merupakan sumber inspirasi saya. Bonda merupakan wanita yang cekal. Daripada seorang wanita bergelar suri rumah, bonda menyambung legasi perniagaan yang arwah ayah tinggalkan. Daripada tiada pengalaman dalam dunia perniagaan berkaitan pembinaan, bonda berjaya menguruskan perniagaan tersebut dengan jayanya,” ujar Puteri Zarith membuka kalam bicara.

PERANCANG YANG BIJAK

Menyusuri tentang perjalanan bisnes yang dibangunkan oleh beliau, Puteri Zarith bermula daripada zero. Merangkak dan bertatih dengan mengusahakan bisnes secara kecil-kecilan, kini Puteri Zarith mampu menarik nafas lega apabila bisnesnya sudah mampu berdiri kukuh.

“Bermula dengan menjual produk orang lain, saya membuat pemerhatian dan kajian tentang produk-produk yang ada di pasaran sehinggalah saya mampu mengeluarkan produk saya sendiri. Paling penting apabila sudah menceburi bidang perniagaan, kita tidak boleh terlalu lama berada pada satu takuk yang sama. Hijrah dalam perniagaan itu sangat penting.  

“Resipi kejayaan saya dalam bidang bisnes mudah sahaja iaitu kena berani mencuba. Jangan mudah berputus asa dan sentiasa pandang ke hadapan untuk terus memajukan diri. Sentiasa up to date daripada segi pemasaran atau produk, selain membantu dan memberikan yang terbaik untuk agen, stokis dan juga pengguna,” jelas Puteri Zarith, isteri belahan jiwa Dr Muhd Munzir Shkori ini.

Berkisar tentang persaingan, Puteri Zarith mengamalkan persaingan secara sihat. Strategi pemasaran perlu lebih trending supaya sentiasa lebih ke hadapan dan lain daripada yang lain.

“Untuk berjaya kita perlu belajar daripada kesilapan dan sentiasa memperbaharui cara pemasaran. Ini kerana cabaran dalam dunia perniagaan bukan hanya persaingan semata-mata tetapi daripada segi produk tiruan dan juga strategi pemasaran yang hambar.

“Kekuatan produk juga amat memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan. Produk-produk kami terbukti berkesan dalam jangka masa pendek. Kami juga menggunakan bahan-bahan yang terbukti baik serta tiada kesan sampingan dan mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain itu, produk-produk kami juga mudah diambil kerana tersedia dalam bentuk tablet,” jelas Puteri Zarith yang gemar membeli belah dan bersantai sambil menghirup kopi bersama teman-teman kala waktu senggangnya.

Bercerita tentang perancangan perniagaan, Puteri Zarit nyata seorang perancang bisnes yang berpandangan jauh. Perancangan demi perancangan telah diatur bagi mengukuhkan lagi empayar perniagaannya.

“Bagi saya, perancangan perniagaan perlu diatur dengan teliti dan tersusun. Rancang sasaran untuk lima tahun akan datang dan rancang juga sasaran untuk 10 tahun akan datang. Perancangan dalam perniagaan amat penting kerana perniagaan bergerak berpaksikan kepada perancangan perniagaan yang telah diatur.

“Alhamdulillah kekuatan saya dalam menerajui perniagaan mendapat berkat sokongan daripada ahli keluarga yang tidak pernah berbelah bahagi. Disertai dengan impian dan minat yang mendalam dalam dunia perniagaan, ia menjadi pemangkin untuk saya lebih bekerja keras dalam mencipta kejayaan,” ungkap Puteri Zarith yang menggemari gaya fesyen ringkas dan elegan.  

Menjalankan perniagaan berasaskan kecantikan sememangnya menuntut Puteri Zarith untuk sentiasa tampil menarik di mana sahaja. Sejak zaman gadis, Puteri Zarith obsesi tentang kecantikan dan mementingkan gaya kerana beranggapan wanita perlu tampil cantik tidak kira dalam apa keadaan sekalipun.

“Bonda serta wanita-wanita di sekeliling saya amat menitikberatkan soal penampilan dan keanggunan. Jadi tidak hairanlah saya mempunyai hasrat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan berasaskan kecantikan. Saya ingin semua wanita tampil anggun dan cantik tanpa mengenal usia.

“Setiap wanita pasti ingin tampil cantik dan bergaya. Cantik dan kemas memerlukan sedikit usaha dan jangan mudah berputus asa. Walaupun telah berkahwin dan mempunyai cahaya mata, penampilan diri masih perlu diberi perhatian.

“Usah jadikan alasan sibuk dengan keluarga untuk tidak menjaga penampilan diri. Cantik itu satu bonus untuk kaum wanita. Jadi, hargainya dengan memberi perhatian terhadap kecantikan secara luaran dan dalaman,” jelas Puteri Zarith, ibu kepada seorang cahaya mata.

LABEL FESYEN

Minat yang mendalam dalam dunia kecantikan dan fesyen turut membuka ruang buat Puteri Zarith melancarkan pakaian ready to wear di bawah label Puteri Zarith. Koleksi pakaian musim perayaan Aidilfitri dengan kerjasama Altelia Amani itu mendapat sambutan yang memberangsangkan di kalangan peminat fesyen tempatan.

“Sememangnya saya gemar tampil menarik dan fesyen merupakan salah satu cara bagi seorang wanita untuk meningkatkan tahap keyakinan diri. Untuk tampil cantik, tidak bermakna pakaian berjenama menjadi pilihan tetapi bijak memilih pakaian dan aksesori padanan juga sudah menampakkan kematangan wanita dalam berfesyen.

Usah jadi mangsa fesyen tetapi cuba belajar bergaya mengikut situasi semasa dan persekitaran. Bergaya bukan semata-mata menyarung pakaian berjenama dan cantik, namun ia perlu bersesuaian dengan situasi agar tidak membebankan diri,” ujar Puteri Zarith yang meminati rekaan pereka tempatan Rizman Ruzaini dan jenama antarabangsa Dior.

Menjadikan Pengasas Melium Group, Datuk Dr Farah Khan sebagai idola dalam dunia perniagaan, Puteri Zarith amat tertarik dengan kisah kejayaan wanita tersebut yang berjaya mencipta nama bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga ke kota Paris. Kisah kejayaan Datuk Dr Farah Khan boleh dijadikan sumber inspirasi untuk berjaya.

Melihat sisi wanita yang boleh dijadikan inspirasi ini, Puteri Zarith percaya ibu-ibu pada era ini sememangnya dilihat lebih moden bukan sahaja daripada segi penampilan, malah daripada segi pemikiran, pendirian dan perlakuan.

Ujarnya, jika dahulu ibu-ibu tidak pandai bergaya atau memilih untuk menjadi suri rumah, namun kini hampir kebanyakan wanita mahu bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri agar boleh menguruskan kewangan keluarga dengan lebih selesa.

“Kini, peluang untuk wanita maju ke hadapan lebih terbuka luas terutamanya dalam bidang perniagaan atas talian dan sebagainya. Jadi, usah lepaskan peluang keemasan ini untuk meningkatkan taraf hidup kerana wanita juga mampu menjadi penyumbang dalam ekonomi keluarga. Apa yang penting, pendapatan sampingan itu mampu menjadi tabungan saat kecemasan. Bahkan untuk menjadi ibu moden perlulah rajin dan cekal dalam membuat segala keputusan,” pesan Puteri Zarith seraya mengakhiri perbualannya.

5 PESANAN PUTERI ZARITH UNTUK WANITA CEBURI BISNES

1. Berani menempuh apa jua cabaran yang mendatang.

2. Betul-betul berminat dengan dunia perniagaan dan bukan kerana melihat orang lain berniaga.

3. Mesti ada perancangan perniagaan yang terperinci.

4. Belajar untuk mencari ilmu dan ikuti kelas-kelas yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan.

5. Sentiasa positif dan cekal dalam menguruskan perniagaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENURUT Glassman, penulis buku The Snack Factor Diet mengatakan ketika berasa lapar, gula dalam darah akan rendah menyebabkan kita tidak mampu berfikir dengan baik. Ketika inilah kita akan berusaha mencari makanan atau snek.
  • SAPUAN gincu di bibir bukan sekadar olesan semata-mata. Sebenarnya olesan gincu bibir memberi impak kepada keseluruhan solekan pada wajah. Jangan sesekali memandang remeh dalam soal memilih gincu bibir yang sesuai dengan anda. Berikut lapan teknik mengoles gincu yang betul.
  • INDUSTRI makanan merupakan salah satu cabang bisnes yang sentiasa mempunyai prospek untuk dikembangkan selain mempunyai masa depan yang cerah. Makanan dan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Menyedari hakikat ini maka bisnes berasaskan makanan menjadi satu cabang bisnes yang tidak lapuk dek zaman.
  • STRES atau tekanan adalah keadaan di mana anda mengalami rasa yang tanggungjawab kerja, rumahtangga, sekolah dan hubungan dengan pasangan yang terbeban di bahu anda melebihi kemampuan anda untuk melaksanakannya.
  • PENULIS percaya anda biasa dengar ungkapan mimpi siang hari. Ia sebenarnya merupakan terjemahan langsung daripada istilah Bahasa Inggeris daydreaming. Semakan penulis menggunakan kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan beberapa istilah berpadanan sebagai maksud daydreaming termasuk berangan-angan, berkhayal dan mengelamun.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.