APAKAH yang terlintas di minda anda apabila mendengar istilah pukau? Penulis percaya maksud yang mula-mula terbayang dalam otak para pembaca budiman ialah ia merupakan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang mengamalkan ilmu pukau untuk memukau mangsa agar dapat melakukan perkara-perkara buruk kepada mangsa.

Selain itu ramai yang mengetahui maksudnya sebagai hipnosis. Ia adalah digunakan oleh ahli psikologi dalam klinik sebagai saranan membantu seseorang mengubah persepsi/sikap mereka terhadap kejadian buruk atau trauma yang berlaku pada masa lalu. Ia juga membantu seseorang agar menghadapi kehidupan masa kini dan akan datang secara lebih teratur.  

Keseluruhan perbincangan artikel ini akan difokuskan kepada pukauan kata-kata atau perbualan.

Kontroversi

Pukauan kata-kata atau perbualan (covert/conversational hypnosis) merupakan pukauan utama yang digunakan oleh semua orang bagi mempengaruhi minda bawah/separa sedar dan tindak-tanduk orang lain. Ia dikatakan bersifat kontroversi kerana tukang pukau akan memukau sesiapa sahaja pada sebarang tempat dan masa tanpa mendapatkan kebenaran daripada orang yang dipukau. Orang yang dipukau juga tidak sedar bahawa mereka dipukau.

Ia sentiasa dilakukan oleh para pembaca budiman, guru, jurujual, pengiklan, pihak berautoriti, ulama, penyoal-siasat, ahli politik, pakar motivasi, jurulatih (coach), penulis sendiri dan ramai orang lain dengan pelbagai tujuan.

“Pukauan dikatakan dilakukan oleh setiap orang terhadap orang lain dengan pelbagai tujuan”

Bagaimana pukauan jenis ini dilakukan? Tukang pukau menggunakan kata-kata pilihan yang menyebabkan subjek (orang yang dipukau) menjalani sawai terbuka (open trance). Pada keadaan ini seseorang yang dipukau adalah dalam keadaan berjaga dan sebenarnya mendengar setiap patah perkataan yang diucapkan oleh tukang pukau secara khusyuk.

Sawai

Tahap pemfokusan yang tinggi berubah menjadi sawai dan memudahkan tukang pukau memberikan cadangan kepada minda bawah sedar orang yang dipukau. Apabila fikiran bawah sedar menerima program baharu yang disuap oleh tukang pukau, seseorang akan memiliki kepercayaan atau persepsi baharu terhadap sesuatu perkara. Individu terbabit kemudian akan menurut arahan yang diajukan oleh tukang pukau.  

Berikut penulis kongsikan dua contoh kes proses pemukauan menggunakan kata-kata seperti diterangkan di atas yang berjaya dilakukan oleh tukang pukau. Tukang pukau berjaya memukau seseorang pada masa amat singkat.

Kes 1

Ketika sedang berdiri menunggu ketibaan seseorang di sebuah perhentian bas, Zizi (bukan nama sebenar) dihampiri oleh seorang wanita separuh umur yang berpakaian lusuh.

Selepas menyapa dengan memberi salam wanita tersebut bertanya sama ada Zizi nampak bas yang pergi ke destinasi sekian-sekian. Zizi berkata beliau baharu sampai dan tidak nampak bas yang dimaksudkan wanita tersebut.

Tiba-tiba wanita tersebut bercerita anak-anak beliau jarang datang menjenguk, setahun sekali pun payah. Rumah yang diduduki ialah rumah peninggalan suaminya dan makan minum tidak terurus.

Beliau pernah beberapa kali memohon sumbangan dari beberapa pusat kebajikan dan ditolak. Permohonannya ditolak kerana pegawai penilaian berkesimpulan beliau bukan orang susah kerana di rumahnya terdapat televisyen besar dan mesin basuh.

Beliau bekerja mencuci pinggan mangkuk di sebuah gerai dan menerima gaji RM20 sehari. Walau pun makan percuma setiap hari, duit gaji habis dibelanjakan membeli ubat. Apabila ditanya beliau sakit apa beliau kata menghidap asma dan gastrik.

Pada hari tersebut beliau hendak pergi ke rumah anak bongsu untuk meminta sedikit wang perbelanjaan kerana telah kehabisan semua duit gaji bulanannya. Tambang bas keseluruhan satu arah ke destinasi yang dituju ialah RM10 namun beliau hanya ada RM5 sahaja. Beliau minta jasa baik Zizi yang kelihatan baik hati agar meminjamkannya RM20 dengan alasan manalah tahu apabila sampai di rumah anaknya mungkin beliau tiada di rumah.

Zizi berasa kasihan kepada wanita tersebut lalu menghulurkan RM20 kepadanya. Zizi berkata beliau halalkan pemberiannya itu. Selepas mengucapkan terima kasih dengan air mata bercucuran wanita tersebut beredar menuju ke suatu arah jauh dari perhentian bas tersebut. Zizi termangu-mangu memikirkan mengapa wanita tersebut tidak jadi pergi ke rumah anaknya.

Kes 2

Pada suatu hari ketika Aza (juga bukan nama sebenar, tetapi kejadian benar-benar pernah berlaku di ibu kota) berjalan secara tergopoh-gapah menuju ke stesen bas untuk pulang ke kolejnya yang terletak lebih kurang 3 jam perjalanan. Tiba-tiba beliau mendapati tangannya ditarik oleh seorang wanita muda. Suasana di lorong yang dilalui ketika itu sibuk dengan orang yang lalu lalang dan hiruk-pikuk dengan bunyi kenderaan di jalan raya.

Wanita yang menahannya mengucapkan terima kasih kepada Aza jika dapat ditemu bual selama 3 minit. Apabila ditanya adakah Aza seorang pelajar, Aza mengiakannya dan berkata dia pelajar kolej.

Wanita tersebut kemudian berkata sesuatu tetapi biji butirnya kurang jelas. Yang dapat ditangkap oleh telinga Aza ialah tiga perkataan sahaja iaitu derma, kolej dan RM30. Tanpa berfikir panjang Aza segera menghulurkan wang kertas RM50 yang dibekalkan ibunya untuk perbelanjaan harian, keperluan beberapa hari kepada wanita tersebut.

Setelah memulangkan baki RM20 Aza diberi sebatang pensel berambu-rambu buatan China (penulis sendiri yang telah melihat pensil tersebut menganggarkan harga kosnya hanya 10 sen sebatang). Aza menurut sahaja arahan dengan menulis nama dan nombor telefon dalam borang. Sebaik sahaja dia duduk dalam bas, dia mula rasa sesuatu tidak kena dengan tindakannya dan rasa menyesal.

*Bahrain Samah,  Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif

BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.